Khamis, 18 Disember 2008

Kemenangan Rafi sebagai Ketua Pemuda Umno Labuan buktikan kematangan perwakilan.Petikan Berita Yang diSiarkan Di Akhbar Tempatan Pada 4 Disember 2008

LABUAN: Ahli Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Mahal menyifatkan kemenangan Mohd Rafi Ali Hassan dalam pemilihan ketua pergerakan pemuda Bahagian baru-baru ini menunjukkan kematangan dikalangan perwakilan-perwakilan pergerakan itu.

Kemenangannya itu juga adalah hasil pemantauan dan penyeliaan yang adil dan berkesan daripada Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan.

“Tahniah saya ucapkan kepada Rafi yang berjaya memenangi pemilihan ketua pergerakan pemuda. Ini adalah hasil daripada pemantauan yang adil dan telus,” katanya pada Rabu.
Yussof berkata adalah enting untuk Rafi yang kini Ketua Pemuda Umno Labuan untuk memberi fokus kepada usaha-usaha menyatu-padukan rakyat khususnya golongan beliawan-beliawanis di pulau ini.
Katanya adalah penting untuk memperkukuhkan pergerakan pemuda di setiap peringkat dari atas hingga ke bawah.
Rafi menang dengan memperolehi 55 undi, manakala Haji Tony Noolan Isli mendapat 42 undi dalam mesyuarat yang diadakan semula pada 29 Nov lalu.
“Kita tak nak ibarat manusia, kepalanya sihat tapi tubuh badannya lemah. Kita perlu kepada satu proses pembaharuan di semua peringkat dan ini menuntut kepada satu pendekatan di mana mementingkan jati diri. Perjuangan pemuda ada muafakatan,” katanya.
“Jika kita masih inginkan keharmonian dalam parti, tidak perlulah kita berbalas-balas tembakkan sesama kita.Janganlah cepat melatah. Ambil mana yang baik, kalau tak mahu terima biarkan sahaja ia berlalu. Tak perlu kita bertelagah kerana ia akan memburukkan lagi keadaan,” katanya, sambil menambah semua ahli perlu menguatkan perpaduan demi kepercayaan rakyat kepada BN.
Yussof juga berkata kuasa akar umbi ini penting dan sebagai parti politik yang mengamalkan demokrasi, adalah penting menghormati suara akar umbi yang menentukan pemimpin.
“Semua ahli-ahli parti harus turun padang, dengar masalah rakyat dan selepas itu maklumkan kepada kita. Jangan simpan sebarang masalah rakyat dalam laci...mesti disampaikan kepada pemimpin untuk dibincang dan kemudian diputuskan,” gesanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan