Ahad, 19 April 2009

KIKIS SIKAP TAKSUB KEPADA PEMIMPIN LALU - PROGRAM PUSINGAN KE-2 "APA KHABAR ORANG KAMPUNG"

LABUAN: Ahli Parlimen Labuan Kol. (K) Datuk Haji Yussof Mahal menggesa masyarakat pelbagai kaum agar mengikis sikap “taksub” dalam menyokong setiap pemimpin.

Beliau berkata pemimpin-pemimpin negara meskipun di peringkat tertinggi silih berganti dan ini harus dierima oleh seluruh masyarakat.

“Kita tidak harus taksub dalam menyokong pemimpin khususnya yang telah digantikan dengan pemimpin baru. Apa yang penting adalah memastikan perpaduan seluruh kaum terus terus terpelihara dan diperkukuhkan,” katanya ketika berucap pada pusingan Ke-2 program Parlimen “Apa Khabar Orang Kampung” di Kg Ganggarak. Program pusingan pertama beliau adalah di Kg Rancha-Rancha pada awal bulan April.

Program ini adalah untuk membolehkan penduduk kampung berhadapan dengan ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan dan untuk mendapat penjelasan pelbagai isu secara bersemuka dan serta merta.

“Janganlah kerana ketaksuban kepada seseorang pemimpin menjadikan kita lupa ianya boleh memporak-perandakan perpaduan kaum. Lihatlah apa yang terjadi di negara jiran kita Thailand kerana ketaksuban sebilangan penyokong bekas pemimpin mereka, keadaan menjadi huru-hara dan menjejaskan imej negara itu sendiri…dan ini kita tidak mahu lihat berlaku di pulau ini,” katanya.

Yussof menggantikan Datuk Suhaili Abd Rahman selepas pucuk kepimpinan Barisan Nasional tidak menyenaraikannya dalam senarai calon BN dipilihanraya lalu. Jawatan Suhaili sebagai Ketua Bahagian UmnoLabuan juga gugur ekoran daripada dakwaan terhadapnya dimahkamah baru-baru ini.

Yussof menekankan ketaksuban khususnya dikalangan pemimpin diperingkat kampung terhadap seseorang pemimpin (pemimpin lalu), boleh menyebabkan mereka itu leka terhadap peranan dan tanggungjawab mereka dalam memastikan perpaduan di kawasan mereka itu terus terpelihara.

“Kita tidak mahu hanya kerana saya menggantikan pemimpin terdahulu, ketaksuban dikalangan pemimpin kampung terhadap pemimpin mereka dahulu itu masih dirasai dan dilihat, sekaligus cakap-menyakap dikedai kopi dan warung-warung dikampung masih berterusan, sedangkan banyak lagi kerja yang harus mereka harus lakukan dalam memastikan penduduk kampung terus menikmati program pembangunan kerajaan,” tambahnya.

Dalam perkembagangan lain Yussof juga mengingatkan masyarakat Labuan agar mengamalkan sikap berhemah dalam perbelanjaan mereka berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu yang diramalkan lebih serius pada hujung tahun ini.

“Janganlah kita leka dengan hal perbelanjaan. Kerajaan telah meluluskan mini bajet (RM60 billion) yang begitu tinggi. Jelas menunjukkan ekonomi negara kita kini merundung,” katanya.

Sementara itu, Yussof juga berkesempatan merasmikan Malam Kebudayaan India anjuran Dewan Perniagaan India dan Perusahaan yang menyaksikan pelbagai tarian kaum India dan Sikh dipersembahkan. Penyanyi utama kumpulan Alleycats Datuk David Arumugam juga turut menghiburkan para jemputan.

PROGRAM PUSINGAN PERTAMA "Apa Khabar Orang Kampung" DILANCAR DI KG. RANCHA-RANCHA

LABUAN: Ahli Parlimen Kol. (K) Datuk Haji Yussof Mahal melancarkan program baru masyarakat yang dinamakan “Apa Khabar Orang Kampung” sebagai usahanya untuk mengenal pasti permasalahan rakyat dengan lebih berkesan.

Program pusingan pertama yang bermula pada 11 April lalu bermula di Kg Rancha-Rancha akan dilebarkan di kesemua 26 kampung yang lain.

“Ini adalah program masyarakat yang baru sepanjang tahun ini. Ianya berkesan untuk mengenal pasti permasalahan rakyat yang dihadapi oleh rakyat di kawasan parlimen saya,” katanya.

Program yang mempunyai sejam berdialog dengan ketua-ketua jabatan kerajaan adalah untuk memberikan penjelasan serta merta dan bersemuka kepada penduduk kampung.

“Penduduk kampung mungkin menghadapi masalah berjumpa degan ketua-ketua jabatan kerajaan, tetapi dengan adanya program ini, ianya akan dapat membantu mereka. Seperti hari ini , kita dapat melihat pelbagai isu dan permasalahan nelayan diselesaikan dengan segera,” katanya.

Yussof tidak menafikan banyak masalah tidak dapat diselesaikan berikutan kesukaran mendapat temujanji dengan ketua-ketua jabatan.
Semasa program itu berjalan, pelbagai aduan diutarakan termasuklah berhubung dengan perlaksanaan projek pembangunan yang tidak siap yang telah menyebabkan kesulitan kepada penduduk-penduduk kampung.

Dalam pada itu, Yussof juga menggesa belia-beliau yang belum mendaftar sebagai pengundi agar berbuat demikian di pejabat pilihanraya.
“Tunaikanlah tanggungjawab anda sebagai warga Malaysia” katanya.