Khamis, 1 Januari 2009

Dari Meja Ahli Parlimen Labuan - Sempena Tahun Baru - 2009 (1430 Hijrah)


Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan rahmat dan izinnya kita semua membuka tirai baru 2009. Salam Tahun Baru dan Salam Menempuh Alam Baru.

Saudara/i sekalian,

Tidak banyak yang hendak diperkatakan tetapi ada beberapa perkara yang perlu saya kongsi bersama iaitu keperluan kepada Penghayatan Modal Insan dan Integriti.

Dalam kita membuka lembaran baru, perlu diingatkan bahawa adalah penting untuk kita semua memperkasakan diri untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum-kaum lain yang telah berjaya terlebih dahulu daripada kita.

Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang membangun dan akan menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Saya sebagai Ahli Parlimen Labuan berusaha untuk melihat Pulau yang kita sayangi ini menjadi pulau yang mampu bersaing dengan negeri-negeri di negara ini.

Samada dengan tarikan pelancong, kebersihan bandarnya, sebagai pusat kepada pelbagai industri dan apa yang amat kita harapkan adalah untuk melihat Labuan dapat mencapat matlamatnya sebagai pusat pembangunan modal insan dinegara ini.

Adalah juga menjadi harapan saya untuk menyemarakkan budaya ilmu dan meningkatkan integriti di kalangan semua warga Labuan.

Saya berbangga dengan respon yang positif daripada Kerajaan Persekutuan yang mendengar hasrat kita untuk melihat Labuan mempunyai universitinya sendiri untuk dikenali sebagai Universiti Labuan, yang mana saya sempat bahaskan di Parlimen. Kita juga gembira dengan akan adanya Sekolah Menengah Agama dan juga Sekolah Menengah Rendah Sains Mara tidak lama lagi.

Semua ini adalah untuk melihat Labuan dilengkap dengan pelbagai pusat pendidikan, dan ini adalah untuk warga Labuan.

Jika kita ingin menyentuh, pembangunan infrastruktur Labuan, kini boleh kita ucapkan Alhamdulillah, dan apa yang perlu fokus daripada kita semua adalah memantapkan perpaduan bagi mencapai pembangunan modal insan dalam aspek pendidikan, khususnya.

Saya percaya ada usaha-usaha yang sedang dan akan diambil oleh pelbagai pihak dalam membantu saya merealisasikan hasrat tersebut.

Kita mahu melihat perangkaan strategi. Salah satu cabaran yang perlu ditanganinya dalam usaha tersebut ialah pemantapan etika dan integriti dikalangan masyarakat pelbagai kaum dan sektor.

Pada masa yang sama, kita harus sedar, kesedaran rakyat semakin meningkat supaya gejala yang bertentangan dengan prinsip etika dan integriti seperti rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan ketidakcekapan dihapuskan, rakyat akan menuntut intigriti dipertahan dan dipertingkatkan dalam semua urusan Kerajaan, Swasta, Parti Politik, Media, Kesatuan Sekerja, NGO, Belia, Pelajar dan Masyarakat.

Bagi memastikan peningkatan etika dan integriti dalam perkhidmatan awam, beberapa langkah-langkah peningkatan etika dan integriti dalam organisasi perlu diambil perhatian. Sehubung dengan itu satu mekanisme menyeluruh perlu diwujudkan. Kerajaan telah menyediakan satu perancangan menyeluruh yang dikenali sebagai Pelan Integriti Nasional (PIN) diwujudkan dengan memberi fokus kepada pemantapan dan membudayakan Etika dan Integriti di kalangan semua anggota masyarakat. Oleh itu setiap individu perlu meningkatkan kefahaman dan komitmen mereka terhadap integriti.

Pelan Integriti Nasional (PIN) yang telah diperkenalkan Kerajaan merupakan satu garis panduan di dalam menangani cabaran tersebut. Ini kerana transformasi ke arah menjadi masyarakat maju bukan sahaja diasaskan kepada kemajuan ekonomi dan teknologi, tetapi juga kemajuan di dalam pembangunan sosial, budaya, intelek dan rohani.

Oleh itu, fokus terpenting di dalam PIN adalah peningkatan dan pemantapan etika dan integriti. Diharapkan pelaksanaan PIN akan dapat membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur bagi merealisasikan hasrat saya sebagai Ahli Parlimen.

Namun begitu, segala usaha dan strategi yang dirangka tidak akan berkesan tanpa sokongan semua pihak. Kesan buruk jenayah penyalahgunaan kuasa bukan sahaja akan merosakkan pelaku-pelakunya sahaja, bahkan akan turut meruntuhkan masyarakat. Begitu juga dengan peranan semua ketua jabatan dan pemimpin agar memastikan tiadanya kepincangan dan penyelewengan berlaku di jabatan masing-masing.

Saudara/i sekalian,

Sebagai pegawai awam yang mewakili kerajaan, kita semua memegang amanah yang besar. Semakin tinggi jawatan kita, maka semakin luas kuasa kita, maka lebih beratlah amanah dan tanggungjawab yang kita pikul. Jika pemimpin dan ketua jabatan tidak amanah, menyalahgunakan kuasa dan melakukan penyelewengan, maka lebih buruk kesannya terhadap masyarakat dan negara.

Kepada kakitangan Kerajaan, kita diamanahkan mentadbir organisasi kita sebaik mungkin berlandaskan kuasa, undang-undang dan peraturan.

Jika setiap pemimpin dan pegawai Kerajaan jujur, cekap dan adil, nescaya kita akan berjaya di dunia dan akhirat. Allah telah berfirman mafhumnya:

Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakan (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.

(Surat Al-Ahzab : Ayat 72)

BPR telah dipilih menjayakan program ini kerana peranan badan tersebut yang dipertanggungjawabkan untuk membenteras jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Akhir kata, saya memanjat doa kepada Allah SWT agar Pulau Labuan akan terus menikmati pembanguan seimbang yang dapat dinikmati oleh pelbagai kaum, baik yang tidak berkemampuan atau berkemampuan. Marilah bersama bekerja dengan saya bagi memastikan Labuan terus dikenali dengan pelbagai sudut yang positif.

Sekian.

Salam Tahun Baru –


"Wilayah Persekutuan Labuan menuju ke alaf baru - Pembangunan Modal Insan"

2 ulasan:

  1. Salam dan selamat menyambut tahun baru Datuk. Saya setuju dengan saranan Datuk kerana usaha kearah pembangunan modal insan di Labuan ini harus dimaksimumkan. Agar rakyat Labuan tidak kira muda maupun dah masak akan menjadi insan berilmu dalam jangka masa singkat sekurang-kurangnya sebelum 2020. Penduduk Labuan seharusnya jangan bosan mengejar ilmu pengetahuan. Harus menimba ilmu walau hingga keLiang Lahat. Jauh bezanya kita yang penuh dengan ilmu didada dengan kita dangkal dengan ilmu pengetahuan.
    Uni. Labuan yang diura-urakan untuk dijadikan kenyataan juga satu usaha yang murni. Penumpuan juga harus diberikan kepada kemasukan anak-anak Labuan ke Universiti tersebut. Selain itu Uni. itu juga boleh dijadikan Uni. untuk penuntut antarabangsa dimana
    kehadiran penuntut dari negara luar dan mampu membuka minda penuntut kita agar tidak hanya berada "dibawah tempurung" sahaja.
    Labuan juga akan lebih terkenal dimata dunia.

    BalasPadam
  2. Salam. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1430H dan Tahun Baru Masihi 2009 kepada YB Datuk. Tahniah YB Datuk diatas usaha menjadikan WP Labuan sebagai sebuah hub pendidikan serantau. Besarlah harapan kami dengan tertubuhnya sebuah MRSM, Sekolah Menengah Agama dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sendiri di Labuan kelak, usaha memaksimumkan Pembangunan Modal Insan sesuai dengan menifesto YB Datuk pada PRU-12 mencapai kejayaan. Saya selaku pengundi dan rakyat Labuan ingin mengucapkan tahniah diatas usaha murni ini yang mana usaha pembangunan modal insan belum pernah dititik beratkan oleh mana-mana pemimpin Labuan yang lalu. InsyaAllah kita tidak mahu anak muda Labuan putih mata bilamana ketinggalan dan tercicir daripada arus pembangunan pesat di Labuan pada masa hadapan. Wassalam.

    BalasPadam