Isnin, 2 Februari 2009

RM100,000 PERUNTUKAN UNTUK PERGERAKAN PEMUDA UMNO LABUAN PERGIATKAN AKTIVITI TAHUNAN BELIA


LABUAN: Sejumlah RM100, 000 akan diperuntukkan setiap tahun untuk merancakkan aktiviti beliawan-beliawanis di pulau ini Labuan dalam usaha merealisasikan pembangunan modal insan berilmu, cergas dan berkualiti.
Ahli Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Mahal berkata adalah penting pelbagai program dan aktiviti dianjurkan dalam memastikan minda beliawan dan beliawanis di pulau ini tidak terbantut.
“Kita mahu melihat banyak program dan aktiviti yang berfaedah dan boleh menyuntik semangat jati diri dikalangan belia. Kita tidak mahu melihat mereka ini berfikiran static. Oleh yang demikian, perlunya ada penganjuran aktiviti untuk mereka ini,” katanya ketika merasmikan kejohanan dua hari Pertandingan Futsal anjuran Pergerakan Pemuda Umno Labuan yang bermula Sabtu (31 Jan 2009).
Sebanyak 28 pasukan menyertai kejohanan itu yang menyaksikan penyertaan hampir kesemua kampung di pulau itu.
Selain daripada keperluan penganjuran program-program dan aktiviti-aktiviti, beliau juga berkata, kerajaan melalui Parlimen Labuan akan membian lebih banyak kemudahan yang mana dua gelanggang komuniti akan dilaksanakan tahun ini.
Katanya setiap gelanggang ini akan menelan belanja RM150,000 yang mana bakal menyediakan kawasan bersukan dan riadah percuma untuk belia-belia dipulau ini.
“Kita telah mendapat kelulusan untuk dua gelanggang ini. Manakala dua gelanggang lagi masih dalam proses kelulusan” tambahnya.
Yussof juga menggesa belia di Labuan agar terus membina jati diri untuk menjadi insan yang berbakti kepada masyarakat.
“Jauhilah diri daripada aktiviti yang tidak berfaedah yang boleh menjurus kepada perkara-perkara yang merosakkan diri,” tambahnya.
Sementara itu, beliau juga memuji usaha Pergerakan Pemuda Umno Labuan yang kini bergiat aktif dalam membantu merancang pelbagai program tahunan untuk aktiviti-aktiviti beliawan-beliawanis.
“Pejabat Parlimen Labuan telah bersetuju untuk memberi peruntukkan tahunan kepada pergerakan ini dalam aktiviti-aktiviti tahunannya,” katanya.

1 ulasan:

  1. Salam. Diharap Pemuda Umno Labuan ikhlas didalam menjalankan apa jua aktiviti demi memajukan beliawan-beliawanis Labuan. Keep up the good work! Tahniah kepada Pemuda UMNO Labuan dan Saudara Rafi Ali Hassan. Wassalam.

    BalasPadam