Rabu, 4 Februari 2009

USAHA JADIKAN LABUAN SATU WILAYAH PERSEKUTUAN CEMERLANG

LABUAN, (Bernama) -- Labuan berhasrat untuk menyediakan lebih banyak kemudahan antarabangsa bagi menarik pelabur tempatan dan asing, kata anggota Parlimennya, Datuk Haji Yussof Mahal.
Katanya kerajaan telah memberi keutamaan kepada pulau itu sejak menjadi Wilayah Persekutuan 25 tahun lepas."Kami percaya akan dapat merubah Labuan dari sebuah pulau yang lesu kepada sebuah hab dagangan yang bertenaga - sama ada dalam bidang logistik, minyak dan gas, pendidikan, pembangunan belia dan hab halal," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Yussof berkata Labuan merupakan sebuah pusat antarabangsa yang sebenar yang menyaksikan berbilion-bilion urus niaga setiap tahun, yang merupakan satu persekitaran yang dikawal atur dengan baik dan memenuhi standard antarabangsa.
"Labuan menjadi pilihan berdaya maju kepada para pelabur yang menjadi satu kawasan alternatif dan ia juga menyediakan kelebihan yang besar kepada Malaysia," katanya.
"Kami mahu menyediakan satu persekitaran yang kondusif untuk mengekalkan daya saing Labuan. Keadaan boleh berubah dengan pantas. Jadi, bagi kekal berdaya saing, kita perlu tangkas dan boleh menyesuaikan keadaan terhadap persektaran perniagaan yang berubah-ubah," katanya.
Bagi menzahirkan matlamat itu, Yussof berkata kerajaan Persekutuan telah melaksanakan pelbagai perancangan dan strategi bagi memastikan Labuan tidak ketinggalan di belakang berbanding dengan negeri-negeri lain di negara ini.
"Kami telah berusaha keras sejak beberapa bulan yang lepas; sejak saya menjadi MP, menjuruskan rancangan agar agensi kerajaan berkenaan melaksanakan matlamat itu.
Kita mahu setiap agensi dan jabatan saling melengkapi antara satu sama lain bagi memastikan agenda kerajaan dipenuhi," katanya.
Labuan, yang kini dikenali sebagai Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa (IBFC), menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan luar pesisir kepada para pelanggan di seluruh dunia, yang termasuk perbankan dan perbankan pelaburan, insurans, perniagaan saham amanah, pengurusan dana, pegangan pelaburan, pengurusan syarikat dan kewangan Islam.

2 ulasan:

  1. sokongan penuh diatas saranan YB Datuk untuk menjadikan Labuan sebagai sebuah Wilayah yang cemerlang. Cita-cita sebeginilah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat terpacul dri mulut seorang pemimpin yang berjiwa rakyat. Semoga Labuan akan terus maju jaya.

    BalasPadam
  2. Salam YB Datuk. Saya terlihat kelibat YB di televisyen ketika sambutan Hari Wilayah di Titiwangsa, Kuala Lumpur. Tahniah saya ucapkan diatas komitmen YB. Minta penjelasan YB, kenapa sambutan Hari Wilayah tidak dilakukan di WP Labuan bilamana Labuan sepatutnya diberikan keutamaan tatkal sambutan Jubli Perak 25 tahun Labuan bersama Wilayah Persekutuan? Ternyata Perbadanan Labuan selaku PBT gagal menganjurkan aktiviti atau festival seumpamanya yg memberi impak kepada kami rakyat Labuan sempena perayaan bersejarah ni. Wassalam.

    BalasPadam