Selasa, 6 April 2010

Yussof Mahal dengan barisan baru kepimpinan BN Labuan - Mengharungi Cabaran PRU 13


LABUAN--Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional Labuan, Datuk Haji Yussof Mahal telah melantik ahli-ahli jawatankuasa baru BN Labuan beberapa hari selepas yang menerima watikah perlantikan daripada Dewan Tertinggi Barisan Nasional Malaysia awal Februrari lalu.

Perlantikan daripada Pengerusi BN Malaysia yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abd Razak itu berkuatkuasa sehingga 31 Mei 2011.

Ramai yang menganggap lantikan ahli-ahli jawatankuasan yang dibuat beliau mendapat pelbagai reaksi positif.

Pemimpin veteran Datuk Isli Siput menyifatkan barisan ahli jawatankuasa baru ini dilihat bertenaga dan bersemangat tinggi.

Perlantikan Yussof Mahal dikatakan mendapat sokongan penuh dari semua parti komponen Barisan Nasional di Labuan.

Antara yang wakil UMNO yang dilantik dalam AJK BN kali ini termasuklah Pemangku Ketua Bahagian UMNO Labuan, Datuk Yunus Kurus sebagai Timbalan Pengerusi, Dr Harun Pudin sebagai Setiausaha, Ali Datuk Omar Bledram sebagai Bendahari dan Rozman Datuk Isli sebagai Naib Pengerusi.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Labuan yang juga mantan Pegawai Jabatan Pengeran Malaysia Datuk Yussof Mohammad turut dilantik sebagai Ketua Biro Penerangan bagi menjelaskan pelbagai isu rakyat dalam konteks Barisan Nasional.

Ketua Pemuda Umno dan Ketua Wanita Umno masing-masing dilantik sebagai ketua Pemuda dan Ketua Wanita BN dengan dibantu oleh barisan kepemimpinan pemuda dan wanita komponen-komponen BN.

Ketua-ketua parti komponen BN yang lain juga masing-masing dilantik sebagai Naib Pengerusi BN.

Diharap barisan AJK BN kali ini dapat memantapkan persiapan parti menjelang PRU-13 kelak.

Isnin, 5 April 2010

Yussof umum RM20 juta untuk kerja naik taraf pantai Batu Manikar


LABUAN-- Ahli Parlimen Datuk Yussof Mahal mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk kerja-kerja naik taraf pantai Batu Manikar.

Peruntukan dari kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu melalui Perbadanan Labuan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperindahkan pantai dan persekitarannya.

"Program pengindahan akan dilaksanakan oleh Perbadanan Labuan sendiri demi kepentingan warga Labuan dan pelawat," katanya dalam program Apa Khabar Orang kampung pada 3 April lalu di Batu Manikar.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa penduduk kampung agar melibatkan diri dalam pelbagai bidang keusahawanan sama dalam perikanan atau perytanian bagi meningkat taraf ekonomi keluarga.

Disamping itu beliau juga menekankan kepada kepentingan pendidikan anak-anak sebagai pelapis kepada pemimpin sekarang.

Sementara itu, beliau sempat menyerahkan bantuan kepada warga emas penduduk Batu Manikar.

Seramai 27 Wakil Ahli Parlimen (WAP) turut menerima watikah perlantikan daripada beliau.

Yussof menggesa agar semua Wakil Ahli Parlimen menggembling tenaga bersama dalam memastikan pembangunan kampung terpelihara dan memastikan kerjasama antara penduduk kampung dan pemimpin terus terjalin.

Yussof sambut baik cadangan penggunaan air proses pembentungan untuk kegunaan industri


LABUAN-- Ahli Parlimen Labuan Datuk Yussof Mahal menyambut baik langkah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menggunakan air pembentungan yang telah diproses untuk kegunaan industri.

langkah tersebut adalah bagi membantu menyelesaikan isu air yang kini kritikal di Labuan sejak tahun lalu.

"Kita berharap dengan cara ini kita dapat menyelesaikan isu air di Labuan. Perkara ini telah saya suarakan di Parlimen, dan kita berterima kasih diatas lawatan Menteri sendiri ke Labuan pada 3 April lalu untuk melihat keadaan sebenar," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap projek penyambungan paip dari Sungai Pada di beaufort ke Labuan siap mengikut jadual dan tidak di lewatkan dengan pelbagai permasalahan.

"Projek bernilai RM365 juta itu harus disiapkan, ini kerana penduduk Labuan telah menghadapi situasi ini agak begitu lama. Kini warga Labuan hanya mendapat bekalan air melalui catuan, dan apa yang Menteri harapkan untuk melihat dalam masa dua bulan tidak ada lagi catuan adalah satu harapan besar kepada penduduk Labuan," katanya.

Yussof juga menggesa Jabatan Air Labuan akan dapat menyegerakan pembinaan telaga tiub dan memastikan mampu membekalkan air yang cukup kepada Kolej Matrikulasi Labuan, ini kerana kemasukan baru seramai 3,000 pelajar ke kolej itu dijadualkan pada Jun ini.

Jumaat, 5 Mac 2010

TEKS UCAPAN YB DATUK HAJI YUSSOF MAHAL SEMPENA MAJLIS PENUTUPAN SAMBUTAN HARI WILAYAH 2010



BISMILAHIRRAHMANIRRAHIM...


ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH dan SALAM SEJAHTERA,

Pertama sekali saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana kita telah diberi kesempatan untuk bersama-sama sekali lagi dalam meraikan Majlis Penutupan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2010 di Dataran Labuan ini.

Saya mewakili warga Labuan, ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar kerana memilih Wilayah Persekutuan Labuan sebagai tuan rumah untuk majlis Penutupan Hari Wilayah Persekutuan 2010 pada tahun ini.

YB Dato’, YBhg Tan Sri, Datuk-datuk, datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Labuan telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 1984. Semenjak Labuan menjadi Wilayah Persekutuan, rakyat Labuan tidak ketinggalan dari menikmati arus pembangunan dan kemajuan yang dicapai. Antaranya, seperti kemudahan infrastruktur, pendidikan, peluang-peluang pekerjaan dan sebagainya.

Saya yakin dan percaya, kemajuan yang dicapai ini telah meningkatkan ekonomi seterusnya menaikkan taraf hidup masyarakat Labuan. Ini terbukti apabila mengikut statistik yang diperolehi, Labuan telah berjaya mengurangkan kemiskinan tegar sebanyak 65.7% pada tahun ini berbanding tahun-tahun yang sudah. Pencapaian ini adalah sejajar dengan saranan kerajaan ke arah landasan ‘Kemiskinan Sifar’.

Sidang hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

‘Maju dan sejahtera’ hendaklah seiring dan tidak boleh dipisahkan.

Tanpa kemajuan, sesebuah negara akan menghadapi masalah ekonomi, masalah pengangguran dan sebagainya. Ini sudah tentu akan menggugat kesejahteraan dan keharmonian masyarakat dalam sesebuah negara.

Begitu juga halnya dengan kesejahteraan. Untuk menjadi sebuah negara yang sejahtera, sudah tentu perpaduan dan kesepakatan amat diperlukan. Lebih-lebih lagi dalam melaksanakan pembentukan gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia.

Tanpa kesejahteraan, masyarakat akan mengalami masalah sosial seperti jenayah, rasuah dan keruntuhan moral remaja masa kini. Ini sudah tentu akan menggugat keselamatan negara seterusnya menjejaskan kemajuan dan mengakibatkan kemundurun sesebuah negara.
Oleh itu, saya mengambil kesempatan ini mendoakan agar Labuan sebagai salah satu Wilayah Persekutuan seiring dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dapat mencapai kemajuan dan kesejahteraan seterusnya dapat bersama-sama menzahirkan semangat cintakan Wilayah Persekutuan sesuai dengan tema sambutan “ Satu Wilayah Persekutuan, Maju & Sejahtera”.

YB Dato’, YBhg Tan Sri, Datuk-datuk, datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Adalah menjadi harapan saya sebagai Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat untuk melihat warga Labuan seiring atau pendek kata berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan yang lain yang telah maju terlebih dahulu kehadapan selaras dengan agenda Kerajaan untuk melihat warga Malaysia maju dan berdaya saing.

Sebagai pemimpin, saya akui sememangnya perlu ada keberanian dalam menghadapi tekanan, samada tekanan itu datangnya dengan sendirinya atau tekanan yang tidak dijangka, tetapi apa yang penting sebagai pemimpin, itu adalah asam garam yang harus dilalui sebagai pemimpin. Adakalanya sebagai pemimpin, kita tidak semestinya dapat memenuhi permintaan semua orang, tetapi apa yang penting kita sentiasa berusaha untuk memenuhi kehendak semua pihak, meskipun adakalanya kita rasa tersepit diantara dua penjuru.

Begitulah senario sebenar yang dihadapi mana-mana pemimpin yang kadangkalanya sukar untuk difahami oleh rakyat sendiri. Dalam kita menuju kearah melahirkan modal insan yang berilmu dan berpengetahuan bagi menyahut seruan kerajaan, pelbagai program ingin kita laksanakan denga jayanya, tetapi adakalanya agak perlahan dan ini disebabkan pelbagai faktor yang kadangkala kita tidak dapat elakkan dan sukar difahami oleh sebilangan pihak.

Dan sebagai Wakil rakyat, saya berikrar sempena Hari Wilayah Persekutuan Labuan yang ke-26 bagi kita di Labuan ini, Ke-36 bagi Kuala Lumpur dan Ke-9 untuk Putrajaya, saya akan terus berkhidmat sedaya upaya demi warga Labuan yang saya sayangi.

Dengan kumpulan pemikir atau Think Tank yang saya telah bentuk bagi membantu merancang hala tuju pembangunan Labuan kearah membawa kemakmuran dan kesejahteraan, dengan sokongan padu daripada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dibawah pimpinan Yang Berhormat Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Perbadanan Labuan, saya yakin Labuan akan seiring, jika tidak seperti Putrajaya dan Kuala Lumpur, sekurang-kurangnya seiring dengan negeri-negeri maju lain di Malaysia.
YB Dato’, YBhg Tan Sri, Datuk-datuk, datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Memang benar ada rungutan dari pelbagai pihak berhubung dengan kos sara hidup di Labuan yang sedikit agak tinggi berbanding negeri lain, tetapi kerajaan khususnya Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar tidak berdiam diri, ini kerana usaha sedang digembling bagi mencari jalan penyelesaian kepada isu ini.

Berhubung dengan isu pembangunan sepertimana yang yang katakan tadi, Labuan adalah sebuah wilayah, tidak seperti negeri-negeri lain yang mana kemudahan-kemudahan asas sudah boleh dibanggakan. Apa yang kita perlu beri perhatian sekarang adalah pembangunan seimbang dalam erti kata lain, kita mahu melihat penglibatan warga Labuan dalam pembangunan yang dibawa ke Labuan dan dengan ini, saya percaya, kita akan mencapai sasaran dalam menuju melahirkan modal insan yang berilmu dan berdaya saing.

Dengan ini, sukalah saya menyeru warga Labuan agar merebut peluang yang diberikan oleh Kerajaan melalui pelbagai perlaksanaan projek pembangunan samada pembangunan fizikal ataupun pembangunan minda. Apa yang penting, janganlah kita sering memandang ke atas tetapi kita hanya melihat sepintas lalu apa yang ada dibawah kita.

Saya yakin seluruh warga Labuan akan terus bersatu memupuk perpaduan dan bertekad untuk menjadi warga yang bertanggung-jawab, mensyukuri dan memanfaatkan kemudahan serta nimat yang dianugerhkan, seterusnya menyokong program yang dilaksanakan kearah kemajuan dan kesejahteraan kita bersama.

YB Dato’, YBhg Tan Sri, Datuk-datuk, datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Dikesempatan ini, saya sekali lagi mengucapkan tahniah diatas usaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan Perbadanan Labuan dalam memastikan pembangunan Labuan bergerak seiring dengan Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Bagi pihak Warga Labuan sekali lagi saya ucapakan SYABAS, TAHNIAH dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Berhormat Menteri Datuk Raja Nong Chik yang tidak jemu untuk datang ke Labuan mekipun apa yang saya tahu, hampir setiap hari berhadapan dengan jadual tugas yang ketat.

Dengan in dengan lafaz WABILAHIT TAUFIK WAL HIDAYAH WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH dan SALAM SEJAHTERA, SALAM 1 MALAYSIA.

Wassalam.