Khamis, 12 Mac 2009

KESATUAN UMAT ISLAM PERLU DIPELIHARA - Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1430

LABUAN: Permuafakatan dan kesatuan umat islam perlu sentiasa diperlihara dan diperkukuhkan supaya umat islam mempunyai kekuatan menghadapi cabaran-cabaran dunia globalisasi.
Ahli Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Mahal berkata umat islam hendaklah mengutamakan kesatuan kerana hanya melalui kesatuan yang kukuh sahaja umat islam mampu menghadapi apa juga cabaran.
“Bersatu kita teguh bercerai kita roboh, itulah peribahasa yang harus kita terapkan dalam diri kita.” katanya ketika merasmikan Sambutan Maulidur Rasul 1430 Peringkat Wilayah Persekutuan baru-baru ini.
Yussof berkata umat islam harus bijak menangani apa juga masalah dan jangan melakukan sesuatu yang boleh mendedahkan kelemahan ummah dan sekiranya timbul apa-apa masalah sesama islam, maka seharusnya diselesaikan mengikut ajaran islam.
Kehebatan dan kesucian ajaran agama islam sebenarnya bergantung pada sikap dan tingkah laku masyarakat islam itu sendiri dan tidak seharusnya menyalahkan masyarakat lain sekiranya wujud pandangan serong daripada masyarakat lain, yang mana disebabkan kegagalan umat islam sendiri menonjolkan nilai-nilai murni kehidupan murni mengikut ajaran islam.
“Umat islam juga berusaha memberi kefahaman kepada masyarakat lain bahawa agama islam itu Ad-Din iaitu cara hidup (Way of Life). Seharusnya kita berusaha untuk menerangkan kepada masyarakat dunia bahawa islam itu agama perdamaian, keamanan, perpaduan dan persaudaraan. Dan agama islam itu juga menghormati hak-hak bukan masyarakat islam di negara ini,” katanya.
Yussof berkata peristiwa hitam yang dilalui oleh umat islam di abad ke-21 ini menuntut kesatuan hati dikalangan masyarakat islam dan seluruh dunia islam untuk membina kekuatan dalam menghadapi badai yang melanda seluruh dunia islam.
“Sememangnya model permuafakatan dan kesatuan Malaysia mampu menjadi pendekatan pengurusan konflik dan pembangunan negara. khususnya kepada dunia islam yang ketika ini semakin lemah dan nazak akibat konflik dalaman yang tidak putus-putus. Permuafakatan dan kesatuan kalangan negara islam yang semakin rapuh dapat dilihat dengan tindakan negara-negara di rantau Asia Barat yang tidak mengambil tindakan pembelaan di atas konsep perpaduan islam ketika umat islam ditindas dan mengharapkan bantuan,” tambahnya.
Status permuafakatan dan kesatuan kaum dan perpaduan negara islam dirantau Asia Barat semakin parah apabila konsep kesatuan islam diguna pakai oleh negara-negara Asia Barat dibatasi oleh batasan sempadan dan kempentingan negara masing-masing.
Justeru, dunia islam khususnya negara Asia Barat boleh merujuk konsep permuafakatan dan kesatuan Malaysia sebagai kaedah dalam penyelesaian konflik perpaduan dan kemajuan di rantau berkenaan.
“Bagi kita di W P Labuan, khususnya di Malaysia amnya, kita berasa maat bertuah hidup dengan penuh harmoni dan berpeluang mengamalkan cara hidup islam dengan kemudahan serta prasarana yang disediakan oleh kerajaan. Rasa kesyukuran ini perlu dijelmakan dalam diri kita, keluarga serta masyarakat secara komited dengan meningkatkan penglibatan kita dalam pelbagai aktiviti keagamaan yang diadakan samada diperingkat masjid, surau dan pusat komuniti yang diwujudkan di kampung-kampung,” katanya.
Yussof juga berkata budaya cintakan ilmu merupakan yang mana sebahagian sunnah Rasullullah SAW perlu diteruskan dan diimarahkan bagi melahirkan modal insan yang beriman, berilmu dan bertakwa yang akan diwariskan generasi masa hadapan.
Sementara itu Ahli Parlimen itu berkata penglibatan sebanyak 78 kontingen dalam perarakan tahun ini juga mencerminkan komitmen Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (JAWI) yang dibantu oleh Perbadanan Labuan dan jabatan-jabatan berkaitan.
“Kita harapkan lebih banyak kontingen pada masa hadapan. Saya ucapkan tahniah diatas kejayaan jabatan-jabatan dalam penganjuran perarakan ini,” katanya.
Majlis perarakan Maulidur Rasul tahun ini juga menerima kejutan apabila beberapa pemimpin masyarakat Cina turut sama melibatkan diri dalam perarakan ini yang mana diketuai oleh Ketua Bahagian MCA Chin Hon Vui sebagai penghormatan mereka terhapat anutan masyarakat islam.
“Ini adalah hasil usaha kita dalam memperkukuhkan perpaduan pelbagai kaum di Labuan ini dalam pelbagai acara kebudayaan masyarakat Cina seperti Gong Xi Ca Cai dan Chap Goh May,” Yussof berkata, sambil menambah akan ada lagi kaum lain yang akan turut terlibat dalam perarakan seperti ini.
Dalam perarakan itu, Kg Sg Bedaun diumumkan sebagai johan bagi kategori kampung untuk kedua-dua pertandingan perbarisan dan sepanduk, manakala Sekolah Rendah Agama Sg Bedaun menang bagi kategori sekolah untuk pertandingan sepanduk.
Jabatan Kastam turut johan bagi pertandingan sepanduk kategori uniform manakala Pangkatan Udara Labuan johan bagi pertandingan perbarisan. Johan akan menerima RM500 beserta sijil.
Yussof ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang berkata, kemenangan yang diperolehi Kg Sg Bedaun dan sekolah berkenaan adalah hasil kesatuan dan perpaduan yang telah lama ditunjukkan oleh pemimpin di kampung berkenaan.
“Apa yang saya difahamkan, kontingen Kg Sg Bedaun yang dipimpin oleh Sahari Amdan telah membuat persiapan yang gigih. Inilah yang patut contoh. Kita ucapkan tahniah kepada mereka dan kepada yang tidak bernasib baik, harus berusaha lagi tahun hadapan,” katanya.

1 ulasan:

  1. Salam. YB Datuk, diharap sambutan sebegini akan dapat meningkatkan permuafakatkan dikalangan rakyat di Labuan.

    Perlaksanaan program sebegini harus terus dilaksanakan demi menjamin perpaduan masyarakat Islam dan integriti kaum di Pulau yg kita cintai ini.

    Saya difahamkan yg penganjuran ini dianjurkan bersama diantara Pejabat Parlimen Labuan, JAWI dan Perbadanan Labuan.Setinggi-tinggi tahniah diatas penganjuran tersebut.

    Wassalam.

    BalasPadam