Masyarakat sering melihat kepada gaya
hidup seseorang bagi menilai kejayaan seseorang. Namun yang demikian untuk
kebanyakkan masyarakat di W.P. Labuan masalah utama yang sering diutarakan
adalah harga barang keperluan harian yang sangat berbeza jika dibandingkan
dengan harga barangan di Sabah, Sarawak dan Semenanjung
Malaysia.
Sehubungan dengan perkara tersebut
pihak kerajaan telah mencadangkan Kedai 1Malaysia sebagai salah satu saluran
bagi menangani masalah harga barangan keperluan. Meskipun Kedai 1Malaysia ini
dikatakan hanya boleh dibangunkan di W.P. Labuan pada tahun 2013, Pejabat
Parlimen W.P. Labuan telah berjaya mendapatkan Kedai Koperasi 1Malaysia yang
sedang beroperasi di Bukit Kalam pada ketika ini. Kejayaan membawa Kedai
Koperasi 1Malaysia ini merupakan satu titik tolak untuk kita bersama-sama
mencari penyelesaian terhadap masalah harga barangan kian meningkat. Pada masa
ini terdapat 75 item barangan harian yang ditawarkan di Kedai Koperasi 1Malaysia
dan dipenghujung tahun 2012 sebanyak 100 item akan disediakan kepada penduduk
W.P. Labuan. Proses penjimatan isi rumah boleh dilaksanakan melalui Kedai
Koperasi 1Malaysia. Sebagai contoh, perbezaan harga Milo Kedai Koperasi
1Malaysia jika dibandingkan dipasaraya adalah sebanyak RM9.00/kilogram. Jika
dalam sebulan satu isi rumah menggunakan 2 kilogram serbuk Milo. Penjimatan
adalah RM18.00/bulan. Dalam setahun RM216.00 dapat dijimatkan. Ini adalah contoh
bagi satu item harian. Jumlah ini mungkin kecil bagi isi rumah berpendapatan
tinggi tetapi bagi mereka yang mempunyai pendapatan dibawah RM1000.00/bulan
jumlah ini boleh digunakan untuk perbelajaan lain.
Namun ini adalah usaha kerajaan
Malaysia untuk menangani masalah harga barangan yang semakin meningkat.
Persoalan yang timbul adalah bagaimana jabatan-jabatan kerajaan di W.P. Labuan
dapat menghasilkan input penyelesaian secara lokal? Maksudnya, apakah
cadangan-cadangan pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan barangan asas yang
boleh dihasilkan di W.P. Labuan?
Cadangan untuk menyediakan satu
industri untuk satu kampung merupakan satu program yang pernah dicadangkan oleh
pihak kerjaan pusat bagi menampung keperluan makanan sesebuah kawasan dan
cadangan ini boleh digunapakai di W.P. Labuan kerana kita mempunyai tenaga pakar
dari setiap jabatan untuk melahirkan buah fikiran yang bernas. Buah fikiran
bernas boleh diangkat secara bersepadu dengan kerjasama dari semua
jabatan-jabatan yang berkaitan. Pejabat Parlimen W.P. Labuan percaya bahawa
dengan adanya kerjasama daripada semua pihak sifat kebergantungan kepada produk
makanan dari luar W.P. Labuan dapat dikikis dan W.P. Labuan akan dapat berdiri
diatas kaki sendiri berdasarkan nasihat serta bimbingan pihak berkuasa tempatan.
Namun….. adakah belia-belia W.P. Labuan sanggup untuk menceburi bidang pertanian
sekiranya kepakaran dan sokongan disediakan?
Oleh yang demikian sudah tiba masanya
kita merancang bersama tentang strategi-strategi yang boleh diambil secara
bersepadu untuk menangani masalah harga barangan keperluan harian yang semakin
lama semakin meruncing. Biarlah kita mencari inisiatif sendiri berdasarkan
kepada idea-idea yang praktikal untuk dijayakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan