Jumaat, 5 Mac 2010

TEKS UCAPAN YB DATUK HAJI YUSSOF MAHAL SEMPENA MAJLIS PENUTUPAN SAMBUTAN HARI WILAYAH 2010



BISMILAHIRRAHMANIRRAHIM...


ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH dan SALAM SEJAHTERA,

Pertama sekali saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana kita telah diberi kesempatan untuk bersama-sama sekali lagi dalam meraikan Majlis Penutupan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2010 di Dataran Labuan ini.

Saya mewakili warga Labuan, ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar kerana memilih Wilayah Persekutuan Labuan sebagai tuan rumah untuk majlis Penutupan Hari Wilayah Persekutuan 2010 pada tahun ini.

YB Dato’, YBhg Tan Sri, Datuk-datuk, datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Labuan telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 1984. Semenjak Labuan menjadi Wilayah Persekutuan, rakyat Labuan tidak ketinggalan dari menikmati arus pembangunan dan kemajuan yang dicapai. Antaranya, seperti kemudahan infrastruktur, pendidikan, peluang-peluang pekerjaan dan sebagainya.

Saya yakin dan percaya, kemajuan yang dicapai ini telah meningkatkan ekonomi seterusnya menaikkan taraf hidup masyarakat Labuan. Ini terbukti apabila mengikut statistik yang diperolehi, Labuan telah berjaya mengurangkan kemiskinan tegar sebanyak 65.7% pada tahun ini berbanding tahun-tahun yang sudah. Pencapaian ini adalah sejajar dengan saranan kerajaan ke arah landasan ‘Kemiskinan Sifar’.

Sidang hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

‘Maju dan sejahtera’ hendaklah seiring dan tidak boleh dipisahkan.

Tanpa kemajuan, sesebuah negara akan menghadapi masalah ekonomi, masalah pengangguran dan sebagainya. Ini sudah tentu akan menggugat kesejahteraan dan keharmonian masyarakat dalam sesebuah negara.

Begitu juga halnya dengan kesejahteraan. Untuk menjadi sebuah negara yang sejahtera, sudah tentu perpaduan dan kesepakatan amat diperlukan. Lebih-lebih lagi dalam melaksanakan pembentukan gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia.

Tanpa kesejahteraan, masyarakat akan mengalami masalah sosial seperti jenayah, rasuah dan keruntuhan moral remaja masa kini. Ini sudah tentu akan menggugat keselamatan negara seterusnya menjejaskan kemajuan dan mengakibatkan kemundurun sesebuah negara.
Oleh itu, saya mengambil kesempatan ini mendoakan agar Labuan sebagai salah satu Wilayah Persekutuan seiring dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dapat mencapai kemajuan dan kesejahteraan seterusnya dapat bersama-sama menzahirkan semangat cintakan Wilayah Persekutuan sesuai dengan tema sambutan “ Satu Wilayah Persekutuan, Maju & Sejahtera”.

YB Dato’, YBhg Tan Sri, Datuk-datuk, datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Adalah menjadi harapan saya sebagai Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat untuk melihat warga Labuan seiring atau pendek kata berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan yang lain yang telah maju terlebih dahulu kehadapan selaras dengan agenda Kerajaan untuk melihat warga Malaysia maju dan berdaya saing.

Sebagai pemimpin, saya akui sememangnya perlu ada keberanian dalam menghadapi tekanan, samada tekanan itu datangnya dengan sendirinya atau tekanan yang tidak dijangka, tetapi apa yang penting sebagai pemimpin, itu adalah asam garam yang harus dilalui sebagai pemimpin. Adakalanya sebagai pemimpin, kita tidak semestinya dapat memenuhi permintaan semua orang, tetapi apa yang penting kita sentiasa berusaha untuk memenuhi kehendak semua pihak, meskipun adakalanya kita rasa tersepit diantara dua penjuru.

Begitulah senario sebenar yang dihadapi mana-mana pemimpin yang kadangkalanya sukar untuk difahami oleh rakyat sendiri. Dalam kita menuju kearah melahirkan modal insan yang berilmu dan berpengetahuan bagi menyahut seruan kerajaan, pelbagai program ingin kita laksanakan denga jayanya, tetapi adakalanya agak perlahan dan ini disebabkan pelbagai faktor yang kadangkala kita tidak dapat elakkan dan sukar difahami oleh sebilangan pihak.

Dan sebagai Wakil rakyat, saya berikrar sempena Hari Wilayah Persekutuan Labuan yang ke-26 bagi kita di Labuan ini, Ke-36 bagi Kuala Lumpur dan Ke-9 untuk Putrajaya, saya akan terus berkhidmat sedaya upaya demi warga Labuan yang saya sayangi.

Dengan kumpulan pemikir atau Think Tank yang saya telah bentuk bagi membantu merancang hala tuju pembangunan Labuan kearah membawa kemakmuran dan kesejahteraan, dengan sokongan padu daripada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dibawah pimpinan Yang Berhormat Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Perbadanan Labuan, saya yakin Labuan akan seiring, jika tidak seperti Putrajaya dan Kuala Lumpur, sekurang-kurangnya seiring dengan negeri-negeri maju lain di Malaysia.
YB Dato’, YBhg Tan Sri, Datuk-datuk, datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Memang benar ada rungutan dari pelbagai pihak berhubung dengan kos sara hidup di Labuan yang sedikit agak tinggi berbanding negeri lain, tetapi kerajaan khususnya Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar tidak berdiam diri, ini kerana usaha sedang digembling bagi mencari jalan penyelesaian kepada isu ini.

Berhubung dengan isu pembangunan sepertimana yang yang katakan tadi, Labuan adalah sebuah wilayah, tidak seperti negeri-negeri lain yang mana kemudahan-kemudahan asas sudah boleh dibanggakan. Apa yang kita perlu beri perhatian sekarang adalah pembangunan seimbang dalam erti kata lain, kita mahu melihat penglibatan warga Labuan dalam pembangunan yang dibawa ke Labuan dan dengan ini, saya percaya, kita akan mencapai sasaran dalam menuju melahirkan modal insan yang berilmu dan berdaya saing.

Dengan ini, sukalah saya menyeru warga Labuan agar merebut peluang yang diberikan oleh Kerajaan melalui pelbagai perlaksanaan projek pembangunan samada pembangunan fizikal ataupun pembangunan minda. Apa yang penting, janganlah kita sering memandang ke atas tetapi kita hanya melihat sepintas lalu apa yang ada dibawah kita.

Saya yakin seluruh warga Labuan akan terus bersatu memupuk perpaduan dan bertekad untuk menjadi warga yang bertanggung-jawab, mensyukuri dan memanfaatkan kemudahan serta nimat yang dianugerhkan, seterusnya menyokong program yang dilaksanakan kearah kemajuan dan kesejahteraan kita bersama.

YB Dato’, YBhg Tan Sri, Datuk-datuk, datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Dikesempatan ini, saya sekali lagi mengucapkan tahniah diatas usaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan Perbadanan Labuan dalam memastikan pembangunan Labuan bergerak seiring dengan Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Bagi pihak Warga Labuan sekali lagi saya ucapakan SYABAS, TAHNIAH dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Berhormat Menteri Datuk Raja Nong Chik yang tidak jemu untuk datang ke Labuan mekipun apa yang saya tahu, hampir setiap hari berhadapan dengan jadual tugas yang ketat.

Dengan in dengan lafaz WABILAHIT TAUFIK WAL HIDAYAH WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH dan SALAM SEJAHTERA, SALAM 1 MALAYSIA.

Wassalam.

UCAPAN PENUH YB SENATOR DATO' RAJA NONG CHIK DATO' RAJA ZAINAL ADIBIN - SEMPENA MAJLIS REMUAH TERBUKA TAHU0N BARU CINA 1MALAYSIA 2010 - 28 FEB 2010


Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Gong Xi Fa Cai, Selamat Menyambut Tahun Baru Cina kepada semua kaum Tionghua di Wilayah Persekutuan Labuan.

Saya berasa sangat gembira kerana berpeluang hadir bersama di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 1Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan.

Tahniah dan syabas juga saya ucapkan kepada Pejabat Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Labuan YB Datuk Yussof Hj Mahal dan MCA Bahagian Labuan di atas penganjuran majlis ini. Saya difahamkan majlis ini diadakan hasil kerjasama yang erat dengan persatuan–persatuan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Labuan.

Meskipun jadual saya dalam lawatan ke Labuan kali ini sangat ketat, namun saya tidak mahu ketinggalan untuk bersama-sama tuan-tuan dalam program ini. Saya anggap majlis rumah terbuka ini sebagai platform terbaik untuk memperkukuhkan perpaduan pelbagai kaum selaras dengan gagasan 1Malaysia yang dipelopori oleh YAB Dato Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional.

Dato-dato, Datin-datin, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

LABUAN CONTOH 1MALAYSIA

Kehadiran anda semua pada hari ini, yang kita lihat bukan sahaja terdiri daripada masyarakat Cina tetapi juga kaum lain seperti Melayu, India, Kadayan, Brunei, Kadazandusun, Iban dan lain-lain adalah bukti Gagasan 1Malaysia telah wujud sejak sekian lama di bumi Labuan.

Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 1Malaysia 2010 ini juga menunjukkan kepada kita semua bahawa warga Labuan dan BN di sini sentiasa terus bersatu di bawah kepimpinan YB Datuk Yussof Haji Mahal, Ahli Parlimen Labuan. Tahniah kepada YB Datuk Yussof di atas perlantikan beliau sebagai Pengerusi Penyelaras BN Labuan.
Hadirin yang saya hormati sekalian

Saya yakin dengan adanya pelbagai program komuniti Ahli Parlimen Labuan seperti “Apa Khabar Orang Kampung”, pelbagai isu dapat dijawab dan diselesaikan menerusi dialog bersama ketua-ketua jabatan kerajaan. Ini akan dapat memperkukuhkan keyakinan rakyat kepada kita dan memastikan BN terus bertapak di Labuan, sekaligus menjadi salah satu penyumbang kepada kemenangan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

KUKUHKAN PERPADUAN

Sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap kemajuan dan kebajikan Wilayah Persekutuan Labuan, adalah menjadi harapan saya agar perpaduan kaum terus terjalin di sini. Saya menyeru seluruh warga Labuan, tidak kira sama ada ahli politik, kakitangan kerajaan, ahli NGO, orang perseorangan atau pun ahli perniagaan, supaya sentiasa memperkukuhkan keharmonian dalam hubungan sesama kita.

Telah menjadi kelaziman di Malaysia, setiap kali tiba sesuatu perayaan, ia pasti akan menjadi acara yang disambut secara bersama oleh seluruh rakyat Malaysia, tidak mengira kaum atau agama.

Kita adalah satu-satunya negara di dunia, di mana tradisi kunjung-mengunjung rumah sahabat handai, rakan taulan dilakukan di musim-musim perayaan, seperti Tahun Baru Cina ini. Jadi kita mestilah mempertahankan amalan unik ini pada setiap masa.

PENUTUP


Akhir kata, saya mengucapkan tahniah di atas kejayaan menganjurkan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 1Malaysia peringkat Parlimen Labuan. Tidak lupa juga, saya ingin menjemput semua yang ada di sini ke Dataran Labuan malam ini untuk menghadiri Majlis Penutup Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2010. Marilah beramai-ramai kita memeriahkan lagi suasana di dataran bersejarah itu.

Sekian.

Wabillahitaufik Walhidayah
Wassalamu Alaikum Warahmatullahi
Wabaraktuh

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL BOLEH JADI PENGUKUR KEPADA PERPADUAN KAUM - YUSSOF MAHAL

LABUAN(26 Feb 2010)--Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan setiap tahun boleh menjadi pengukur kepada perpaduan masyarakat islam, dan persoalan samada perarakan sambutan maulid tidak ada fadhilatnya seharusnya tidak timbul.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Mahal berkata sambutan Maal Hijrah ini adalah untuk menerapkan budaya positif dikalalangan umat islam terhadap sejarah islam yang agung dan untuk mengingatkan masyarakat islam keagungan Nabi Muhammad S.A.W.

Yussof berkata dalam mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abd Aziz pada minggu lalu bahawa, bulan Maulud tidak mempunyai fadilat dan sebarang kelebihan berbanding bulan Ramadan, kenyataan tok guru itu tidak harus dilayan tetapi masyarakat islam harus membuta penialain secara matang dan bijak dari perspektif islam.

“Kita telah mengadakan sambutan mauled ini setiap tahun dan kita dapat saksikan kehadiran masyarakat islam dan mampu memberi gambaran positif kepada saudara baru islam kita. Ini yang penting, kita tidak jadikan sambutan maulid ini sebagai platform berkempen politik tetapi untuk menerapkan keutuhan dan memperkasakan ummah sebagai teras dalam kehidupan kita sebagai masyarakat islam. Dan apabila kita menyentuh samada maulid ini tidak ada fadhilatnya, kita tidak harus pula terpengaruh dan bersetuju untuk tidak lagi menganjurkannya mada hadapan, ini kerana kita sema ini jadikannya sebagai landasan untuk mempereratkan perpaduan dan hubunag silaturahim,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Yussof menyeru warga Labuan khususnya agar menghidupkan sunnah Nabi Muhammad dalam segenap aspek kehidupan samada dari segi pembinaan sahsiah diri, masyarakat, urusan ekonomi dan pembangunan sesuatu kawasan.

Tema sambutan tahun ini adalah Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah yang membawa maksud permuafakatan dan kesatuan umat islam merupakan kunci kekuatan yang perlu dipertahankan dalam mencapai matlamat melahirkan umat yang terbaik yang menjadi contoh kepada semua lapisan bangsa.

“Katanya umat islam harus mementingkan hubungan baik sesama yang lain dan perhubungan yang baik dapat dijalin dan diamalkan sekiranya setiap individu memiliki akhlak yang mulia.

Akhlak mempunyai tempat yang tinggi dalam islam dan ia adalah seperti cermin dalam memancarkan cahaya islam itu sendiri,” katanya.

Di Wilayah Persekutuan Labuan, kita bersama amat bertuah hidup dengan penuh harmoni dan berpeluang mengamalkan cara hidup islam dengan kemudahan serta prasarana yang disediakan oleh kerajaan.Ini perlu diterjemahkan dalam diri dan keluarga serta masyarakat secara komited dengan meningkatkan penglibatan dalam pelbagai aktiviti agama yang diadakan.