Jumaat, 5 Mac 2010
TEKS UCAPAN YB DATUK HAJI YUSSOF MAHAL SEMPENA MAJLIS PENUTUPAN SAMBUTAN HARI WILAYAH 2010
BISMILAHIRRAHMANIRRAHIM...
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH dan SALAM SEJAHTERA,
Pertama sekali saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana kita telah diberi kesempatan untuk bersama-sama sekali lagi dalam meraikan Majlis Penutupan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2010 di Dataran Labuan ini.
Saya mewakili warga Labuan, ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar kerana memilih Wilayah Persekutuan Labuan sebagai tuan rumah untuk majlis Penutupan Hari Wilayah Persekutuan 2010 pada tahun ini.
YB Dato’, YBhg Tan Sri, Datuk-datuk, datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian
Labuan telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 1984. Semenjak Labuan menjadi Wilayah Persekutuan, rakyat Labuan tidak ketinggalan dari menikmati arus pembangunan dan kemajuan yang dicapai. Antaranya, seperti kemudahan infrastruktur, pendidikan, peluang-peluang pekerjaan dan sebagainya.
Saya yakin dan percaya, kemajuan yang dicapai ini telah meningkatkan ekonomi seterusnya menaikkan taraf hidup masyarakat Labuan. Ini terbukti apabila mengikut statistik yang diperolehi, Labuan telah berjaya mengurangkan kemiskinan tegar sebanyak 65.7% pada tahun ini berbanding tahun-tahun yang sudah. Pencapaian ini adalah sejajar dengan saranan kerajaan ke arah landasan ‘Kemiskinan Sifar’.
Sidang hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,
‘Maju dan sejahtera’ hendaklah seiring dan tidak boleh dipisahkan.
Tanpa kemajuan, sesebuah negara akan menghadapi masalah ekonomi, masalah pengangguran dan sebagainya. Ini sudah tentu akan menggugat kesejahteraan dan keharmonian masyarakat dalam sesebuah negara.
Begitu juga halnya dengan kesejahteraan. Untuk menjadi sebuah negara yang sejahtera, sudah tentu perpaduan dan kesepakatan amat diperlukan. Lebih-lebih lagi dalam melaksanakan pembentukan gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia.
Tanpa kesejahteraan, masyarakat akan mengalami masalah sosial seperti jenayah, rasuah dan keruntuhan moral remaja masa kini. Ini sudah tentu akan menggugat keselamatan negara seterusnya menjejaskan kemajuan dan mengakibatkan kemundurun sesebuah negara.
Oleh itu, saya mengambil kesempatan ini mendoakan agar Labuan sebagai salah satu Wilayah Persekutuan seiring dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dapat mencapai kemajuan dan kesejahteraan seterusnya dapat bersama-sama menzahirkan semangat cintakan Wilayah Persekutuan sesuai dengan tema sambutan “ Satu Wilayah Persekutuan, Maju & Sejahtera”.
YB Dato’, YBhg Tan Sri, Datuk-datuk, datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian
Adalah menjadi harapan saya sebagai Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat untuk melihat warga Labuan seiring atau pendek kata berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan yang lain yang telah maju terlebih dahulu kehadapan selaras dengan agenda Kerajaan untuk melihat warga Malaysia maju dan berdaya saing.
Sebagai pemimpin, saya akui sememangnya perlu ada keberanian dalam menghadapi tekanan, samada tekanan itu datangnya dengan sendirinya atau tekanan yang tidak dijangka, tetapi apa yang penting sebagai pemimpin, itu adalah asam garam yang harus dilalui sebagai pemimpin. Adakalanya sebagai pemimpin, kita tidak semestinya dapat memenuhi permintaan semua orang, tetapi apa yang penting kita sentiasa berusaha untuk memenuhi kehendak semua pihak, meskipun adakalanya kita rasa tersepit diantara dua penjuru.
Begitulah senario sebenar yang dihadapi mana-mana pemimpin yang kadangkalanya sukar untuk difahami oleh rakyat sendiri. Dalam kita menuju kearah melahirkan modal insan yang berilmu dan berpengetahuan bagi menyahut seruan kerajaan, pelbagai program ingin kita laksanakan denga jayanya, tetapi adakalanya agak perlahan dan ini disebabkan pelbagai faktor yang kadangkala kita tidak dapat elakkan dan sukar difahami oleh sebilangan pihak.
Dan sebagai Wakil rakyat, saya berikrar sempena Hari Wilayah Persekutuan Labuan yang ke-26 bagi kita di Labuan ini, Ke-36 bagi Kuala Lumpur dan Ke-9 untuk Putrajaya, saya akan terus berkhidmat sedaya upaya demi warga Labuan yang saya sayangi.
Dengan kumpulan pemikir atau Think Tank yang saya telah bentuk bagi membantu merancang hala tuju pembangunan Labuan kearah membawa kemakmuran dan kesejahteraan, dengan sokongan padu daripada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dibawah pimpinan Yang Berhormat Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Perbadanan Labuan, saya yakin Labuan akan seiring, jika tidak seperti Putrajaya dan Kuala Lumpur, sekurang-kurangnya seiring dengan negeri-negeri maju lain di Malaysia.
YB Dato’, YBhg Tan Sri, Datuk-datuk, datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian
Memang benar ada rungutan dari pelbagai pihak berhubung dengan kos sara hidup di Labuan yang sedikit agak tinggi berbanding negeri lain, tetapi kerajaan khususnya Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar tidak berdiam diri, ini kerana usaha sedang digembling bagi mencari jalan penyelesaian kepada isu ini.
Berhubung dengan isu pembangunan sepertimana yang yang katakan tadi, Labuan adalah sebuah wilayah, tidak seperti negeri-negeri lain yang mana kemudahan-kemudahan asas sudah boleh dibanggakan. Apa yang kita perlu beri perhatian sekarang adalah pembangunan seimbang dalam erti kata lain, kita mahu melihat penglibatan warga Labuan dalam pembangunan yang dibawa ke Labuan dan dengan ini, saya percaya, kita akan mencapai sasaran dalam menuju melahirkan modal insan yang berilmu dan berdaya saing.
Dengan ini, sukalah saya menyeru warga Labuan agar merebut peluang yang diberikan oleh Kerajaan melalui pelbagai perlaksanaan projek pembangunan samada pembangunan fizikal ataupun pembangunan minda. Apa yang penting, janganlah kita sering memandang ke atas tetapi kita hanya melihat sepintas lalu apa yang ada dibawah kita.
Saya yakin seluruh warga Labuan akan terus bersatu memupuk perpaduan dan bertekad untuk menjadi warga yang bertanggung-jawab, mensyukuri dan memanfaatkan kemudahan serta nimat yang dianugerhkan, seterusnya menyokong program yang dilaksanakan kearah kemajuan dan kesejahteraan kita bersama.
YB Dato’, YBhg Tan Sri, Datuk-datuk, datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian
Dikesempatan ini, saya sekali lagi mengucapkan tahniah diatas usaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan Perbadanan Labuan dalam memastikan pembangunan Labuan bergerak seiring dengan Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Bagi pihak Warga Labuan sekali lagi saya ucapakan SYABAS, TAHNIAH dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Berhormat Menteri Datuk Raja Nong Chik yang tidak jemu untuk datang ke Labuan mekipun apa yang saya tahu, hampir setiap hari berhadapan dengan jadual tugas yang ketat.
Dengan in dengan lafaz WABILAHIT TAUFIK WAL HIDAYAH WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH dan SALAM SEJAHTERA, SALAM 1 MALAYSIA.
Wassalam.
Labels:
Aktiviti Semasa
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
SEMOGA LABUAN, PULAU TERCINTA INITERUS MAJU....
BalasPadam