Isnin, 16 Februari 2009

Ahli Parlimen Labuan dilantik Kolonel Kehormat RELA WP Labuan Oleh Menteri Dalam Negeri DAtuk Syed Hamid Albar

LABUAN: Ahli Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Haji Mahal kini antara Ahli Parlimen Malaysia yang mendapat pengiktirafan kepimpinan dengan perlantikannya sebagai Kolonel Kehormat RELA Malaysia.
Perlantikan sebagai Kolonel Kehormat itu diadakan pada 8hb Feb 2009 di Pusat Latihan RELA Sabah sempena Hari Sambutan RELA ke-37.

Beliau ketika ditemui Bernama pada hari perlantikan itu menyifatkan perlantikan itu adalah satu penghargaan dan pengiktirafan kerajaan keatas kepimpinan Ahli-Ahli Parlimen seluruh Malaysia di kawasan masing-masing.

Perlantikan itu membawa maksud kepada peranan Ahli Parlimen dalam mengetuai setiap operasi RELA dalam bentuk apa juga khususnya dalam pembasmian pendatang asing.

"Saya amat menghargai diatas perlantikan ini. Kini saya berkongsi sama dengan Ahli-Ahli Parlimen lain dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam Pasukan RELA," katanya

Kepelbagaian Budaya Mantapkan Perpaduan Pelbagai Kaum

LABUAN: Kepelbagaian kebudayaan di negara ini telah berjaya mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum, dan ini telah menjadi contoh kepada kebanyakan negara.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Mahal berkata persefahaman dan semangat perpaduan haruslah dikekalkan oleh semua lapisan masyarakat.

Beliau juga menyeru agar lebih banyak program kebudayaan dianjurkan bagi memupuk dan memahat nilai-nilai persefahaman tradisi dan budaya kaum lain.

“Aktiviti-Aktiviti dan program kebudayaan haruslah dipelihara dan diperbanyakkan agar semua lapisan masyarakat memahami kebudayaan dan tradisi kaum lain. Perkara ini amatlah penting bagi melahirkan generasi yang tahu akan asal-usul kaum lain dan ini seterusnya dapat mewujudkan perpaduan kaum,” katanya ketika merasmikan Malam Kebudayaan India 2009 anjuran Universiti Malaysia Sabah (KAL) Labuan pada 14hb Feb lalu.

Katanya penglibatan mahasiswa dan mahasiswi dalam aktiviti seperti yang dianjurkan mampu memahami tanggunjawab yang perlu dipikul untuk kepentingan semua serta mengukuhkan perpaduan dan persefahaman.

“Kita yakin program seperti ini dapat mengeratkan lagi silaturahim dan integrasi pelbagai kaum,” katanya.

Menyentuh tentang program itu katanya ianya ini bukan hanya untuk berhibur tapi membawa masyarakat secara lebih dekat kepada senibudaya masyarakat India.

“Seni tarian klasik India yang wajib bagi tradisi mereka tetapi semakin kurang dikuasai oleh generasi muda masa kini, maka haruslah mengambil kesempatan ini untuk mengasah dan menonjolkan bakat-bakat mereka. Inisiatif pelajar yang mengadakan program seperti ini haruslah dicontohi” tambahnya.

Sementara itu, dalam majlis itu beliau mengumunkan sejumlah RM25,000 peruntukan akan diberikan kepada UMS Labuan tahun ini untuk lima persatuan dan program kebudayaan universiti itu.

SERAMAI 27 ORANG MENERIMA PERLANTIKAN WAKIL PEJABAT PARLIMEN DI SEMUA KAMPUNG WP LABUAN

LABUAN: Seramai 27 orang telah dilantik menjadi wakil Pejabat Parlimen Labuan sebagai usaha memastikan program pembangunan masyarakat dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Perlantikan yang dibuat sendiri oleh Ahli Parlimen Labuan Kolonel (K) Datuk Haji Yussof Haji Mahal bukanlah untuk menggantikan ketua-ketua kampung tetapi adalah untuk membantu dengan lebih berkesan lagi dalam memastikan perancangan kerajaan di kawasan Parlimen Labuan dilaksanakan dan mendapat dimanfaatkan oleh rakyat sepenuhnya.
“Perlantikan ini bukanlah untuk menggantikan ketua-ketua kampung atau akan ada pertindihan kuasa tetapi saya memerlukan wakil-wakil yang dapat memastikan program untuk penduduk kampung dapat dijayakan dengan berkesan,” katanya.
Katanya perlantikan itu juga membolehkannya mendapat laporan secara berterusan berhubung pembanguan dan perancangan akan datang untuk kampung-kampung.
“Saya perukan laporan konsisten apa yang dirancang dan akan dirancang di semua 27 kampung. Tidak dinafikan memang ada ketua-ketua kampung yang tidak produktif dan tidak memainkan peranan seperti yang diharapkan. Jadi saya memerlukan wakil-wakil saya yang saya boleh harapkan dalam memastikan apa yang dirangcang untuk rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan,” tambahnya.
Menurutnya wakil-wakil ini tidak mendapat sebaranya pembayaran tetapi dari pejabat Parlimen, dan hanya menjalankan tugas secara sukarela.
Yussof berkata perlantikan itu adalah juga berikutan beberapa program kemasyarakatan tidak dapat dijalankan dengan sepenuhnya dan mengakibatkan peruntukan kerajaan itu menjadi sia-sia.
“Kita tidak berupaya melihat peruntukan kerajaan dibelanjakan sewenangnya dan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat. Kita mengharapkan rakyat dapat terlibat dengan setiap program kerajaan. Jadi berharap dengan perlantikan 27 wakil parlimen ini dapatlah membantu kita memastikan program rakyat untuk rakyat," tekannya.

Ahad, 8 Februari 2009

YUSSOF BERMESYUARAT 6 BULAN SEKALI DENGAN SEMUA KEMENTERIAN, JABATAN DAN AGENSI KERAJAAN BAGI MEMASTIKAN PROGRAM, PEMBANGUNAN RAKYAT BERJALAN LANCAR


LABUAN: Ahli Parlimen Datuk Haji Yussof Haji Mahal menyarankan agar ketua-ketua jabatan kerajaan menggembling tenaga dan bekerjasama bagi memastikan program dan pembangunan untuk rakyat dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Katanya adalah tanggungjawabnya untuk melihat jentera-jentera kerajaan berfungsi seperti yang diharapkan selaras dengan seruan Perdana Menteri untuk melihat perlaksanaan yang lancar dengan perubahan sistem penyampaian.
"Sejak saya menjadi Ahli Parlimen hampir setahun, saya merasakan, saya harus duduk berbincang dan mendengar apakah perancangan masa depan untuk Labuan daripada semua jabatan kerajaan di Labuan. Apakah yang sedang dilaksanakan dan bakal dilaksanakan. Inilah saya mahu tahu," katanya ketika mengadakan mesyuarat bersama hampir kesemua jabatan kerajaan, agensi dan kementerian pada 6hb Februari.
Diantara jabatan kerajaan dan agensi yang menyertai mesyuarat termasuklah Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, JAWI, Jabatan Kesihatan, LOFSA, Angkatan Tentera Darat Malaysia, Malaysian Anti Corruption Commission, FAMA, Jabatan Pelajaran, Jabatan Belia dan Sukan, Lembaga Pelancongan Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lembaga Tabung Haji, JASA, Biro Bantuan Guaman, Jabatan Kebajikan, Universiti Malaysia Sabah, dan Jabatan Laut Semenanjung antara lain.
Yussof juga mencadangkan agar mesyuarat sedemikian dibuat setiap enam bulan bagi tujuan mengetahui keperluan kepada perkara-perkara dan isu-isu yang harus diketengahkan di parlimen.
Yussof meminta agar kesemua ketua-ketua jabatan kerajaan menyalurkan terus kepada beliau berhubung permasalahan dan isu-isu yang tidak dapat diselesaikan diperingkat mereka untuk membolehkan beliau mengetengahkan diperinkat Parlimen.
"Bekerjalah bersama saya bagi memastikan amanah yang diberikan kepada kita semua dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya.
Beliau juga menggesa agar ketua-ketua jabatan kerajaan untuk terus bekerjasama antara satu sama yang lain bagi meneruskan agenda kerajaan tanpa sebarang halangan.
Beliau juga mengingatkan agar piagam pelanggan setiap jabatan itu diberi fokus agar tidak lari daripada objektif asal dalam pemberian perkhidmatan kepada masyarakat.
"Marilah kita lihat kemungkinan ada kelemahan pada perkhidmatan kita kepada rakyat, adakah keperluan kajian semula dalam sistem dan prosedur kerja... ini kerana masyarakat pada dasarnya memerhatiukan kita dalamkita menyampaikan amanat kerajaan," gesanya.
Yussof juga berkata adalah perlu bagi ketua-ketua jabatan kerajaan untuk terus berada dilandasan yang betul bagi menghindar daripada dikritik dan dikecam oleh pihak tertentu.
Dalam mesyuarat itu juga, beberapa isu sempat diketengahkan termasuklah kekurangan pakar perubatan di hospital Labuan yang banyak menimbulkan kekhuatiran dikalangan masyarakat.
Yussof mengulas bahawa isu ini telah didebatkan di parlimen dan Kementerian Kesihatan sedang berusaha untuk memastikan masalah yang dihadapi bukan sahaja dihadapi di Labuan, tetapi disemua hospital seluruh negara ini, dapat diselesaikan dengan pertambahan pakar untuk berkhidmat di pulau ini.
Pengarah Pendidikan Labuan Mohd Zaki mencadangkan agar ada insentif menarik untuk menarik minat pakar perbuatan untuk berkhidmat di Labuan.
Isu yang lain juga adalah berhubung keperluan kepada Lembaga Pelancingan Malaysia untuk mempromosi secara aggresif tentang Labuan yang mana sehingga kini masih ada lagi masyarakat di negara ini masih menganggap Labuan masih sebahagian daripada Sabah, sedangkan Labuan telah meraikan Hari Wilayah Persekutuan sejak 25 tahun lalu.

Rabu, 4 Februari 2009

USAHA JADIKAN LABUAN SATU WILAYAH PERSEKUTUAN CEMERLANG

LABUAN, (Bernama) -- Labuan berhasrat untuk menyediakan lebih banyak kemudahan antarabangsa bagi menarik pelabur tempatan dan asing, kata anggota Parlimennya, Datuk Haji Yussof Mahal.
Katanya kerajaan telah memberi keutamaan kepada pulau itu sejak menjadi Wilayah Persekutuan 25 tahun lepas."Kami percaya akan dapat merubah Labuan dari sebuah pulau yang lesu kepada sebuah hab dagangan yang bertenaga - sama ada dalam bidang logistik, minyak dan gas, pendidikan, pembangunan belia dan hab halal," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Yussof berkata Labuan merupakan sebuah pusat antarabangsa yang sebenar yang menyaksikan berbilion-bilion urus niaga setiap tahun, yang merupakan satu persekitaran yang dikawal atur dengan baik dan memenuhi standard antarabangsa.
"Labuan menjadi pilihan berdaya maju kepada para pelabur yang menjadi satu kawasan alternatif dan ia juga menyediakan kelebihan yang besar kepada Malaysia," katanya.
"Kami mahu menyediakan satu persekitaran yang kondusif untuk mengekalkan daya saing Labuan. Keadaan boleh berubah dengan pantas. Jadi, bagi kekal berdaya saing, kita perlu tangkas dan boleh menyesuaikan keadaan terhadap persektaran perniagaan yang berubah-ubah," katanya.
Bagi menzahirkan matlamat itu, Yussof berkata kerajaan Persekutuan telah melaksanakan pelbagai perancangan dan strategi bagi memastikan Labuan tidak ketinggalan di belakang berbanding dengan negeri-negeri lain di negara ini.
"Kami telah berusaha keras sejak beberapa bulan yang lepas; sejak saya menjadi MP, menjuruskan rancangan agar agensi kerajaan berkenaan melaksanakan matlamat itu.
Kita mahu setiap agensi dan jabatan saling melengkapi antara satu sama lain bagi memastikan agenda kerajaan dipenuhi," katanya.
Labuan, yang kini dikenali sebagai Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa (IBFC), menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan luar pesisir kepada para pelanggan di seluruh dunia, yang termasuk perbankan dan perbankan pelaburan, insurans, perniagaan saham amanah, pengurusan dana, pegangan pelaburan, pengurusan syarikat dan kewangan Islam.

Isnin, 2 Februari 2009

PERTINGKATKAN KUALITI PERKHIDMATAN , BERSATU TANPA MENGIRA FAHAMAN POLITIK

Sempena Sambutan Hari Wilayah - 1 Feb 2009
25 Tahun Labuan Menjadi Wilayah Persekutuan...

Ahli Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Haji Mahal berkongsi saranan Perdana Menteri mengingatkan semua warga Wilayah Persekutuan (WP) Labuan agar sentiasa memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan mesra, khususnya dikalangan pemberi perkhidmatan kepada masyarakat, tidak kira di sektor awam mahupun swasta.
Katanya apa juga perkhidmatan yang diberikan perlu berteraskan kepada perkhidmatan yang baik, cekap, mesra dan ceria kerana menurutnya ini semua akhirnya akan membawa kebahagiaan kepada semua warga Labuan.
"Sama ada perkhidmatan kemudahan awam dan dalam pelbagai sector yang lain, khidmat yang diberikan haruslah memberi penekanan kepada kualiti perkhidmatan,” katanya.
Ahli Parlimen itu berkata sambutan sempena Hari Wilayah Persekutuan yang bertemakan "Wilayah Maju Warga Sejahtera" harus disemai oleh setiap warga.
Beliau berkata, Wilayah Persekutuan Labuan yang mempunyai penduduk pelbagai kaum perlu sentiasa mengekalkan perasaan harmoni, sikap toleransi, keamanan, dan hormat menghormati antara satu sama lain.
Katanya juga adalah penting bagi memastikan Wilayah Persekutuan Labuan mengekalkan seberapa boleh bersih dari kejadian jenayah dan dalam hal ini, badan seperti Rukun Tetangga boleh memainkan peranan membina.
“Warga Wilayah Persekutuan Labuan mesti ada perasaan sayang dan bangga kerana ia menjadi tempat mereka tinggal dan bekerja dan mereka perlu sentiasa memastikan kecantikan, kebersihan bangunan, penjagaan alam sekitar dan sungai yang ada di sini.
"Keindahan dan kebersihan juga perlu sentiasa dipertingkatkan. Bagi mereka yang melawat Wilayah Persekutuan, kita mahu mereka merasa keindahan kawasan ini (WP). Keindahan tidak hanya pada landskap tetapi juga pada bangunan-bangunan yang ada," katanya.
Sementara itu, beliau juga menekankan masyarakat seluruh kaum harus bersatu tanpa mengira fahaman politik.
“Sukalah saya menggesa seluruh masyarakat di Labuan supaya bersatu tanpa mengira fahaman politik dalam menentang cabaran daripada pihak tertentu yang cuba mengelirukan dan memecah-belahkan perpaduan kaum.

RM100,000 PERUNTUKAN UNTUK PERGERAKAN PEMUDA UMNO LABUAN PERGIATKAN AKTIVITI TAHUNAN BELIA


LABUAN: Sejumlah RM100, 000 akan diperuntukkan setiap tahun untuk merancakkan aktiviti beliawan-beliawanis di pulau ini Labuan dalam usaha merealisasikan pembangunan modal insan berilmu, cergas dan berkualiti.
Ahli Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Mahal berkata adalah penting pelbagai program dan aktiviti dianjurkan dalam memastikan minda beliawan dan beliawanis di pulau ini tidak terbantut.
“Kita mahu melihat banyak program dan aktiviti yang berfaedah dan boleh menyuntik semangat jati diri dikalangan belia. Kita tidak mahu melihat mereka ini berfikiran static. Oleh yang demikian, perlunya ada penganjuran aktiviti untuk mereka ini,” katanya ketika merasmikan kejohanan dua hari Pertandingan Futsal anjuran Pergerakan Pemuda Umno Labuan yang bermula Sabtu (31 Jan 2009).
Sebanyak 28 pasukan menyertai kejohanan itu yang menyaksikan penyertaan hampir kesemua kampung di pulau itu.
Selain daripada keperluan penganjuran program-program dan aktiviti-aktiviti, beliau juga berkata, kerajaan melalui Parlimen Labuan akan membian lebih banyak kemudahan yang mana dua gelanggang komuniti akan dilaksanakan tahun ini.
Katanya setiap gelanggang ini akan menelan belanja RM150,000 yang mana bakal menyediakan kawasan bersukan dan riadah percuma untuk belia-belia dipulau ini.
“Kita telah mendapat kelulusan untuk dua gelanggang ini. Manakala dua gelanggang lagi masih dalam proses kelulusan” tambahnya.
Yussof juga menggesa belia di Labuan agar terus membina jati diri untuk menjadi insan yang berbakti kepada masyarakat.
“Jauhilah diri daripada aktiviti yang tidak berfaedah yang boleh menjurus kepada perkara-perkara yang merosakkan diri,” tambahnya.
Sementara itu, beliau juga memuji usaha Pergerakan Pemuda Umno Labuan yang kini bergiat aktif dalam membantu merancang pelbagai program tahunan untuk aktiviti-aktiviti beliawan-beliawanis.
“Pejabat Parlimen Labuan telah bersetuju untuk memberi peruntukkan tahunan kepada pergerakan ini dalam aktiviti-aktiviti tahunannya,” katanya.