Isnin, 16 Februari 2009

Kepelbagaian Budaya Mantapkan Perpaduan Pelbagai Kaum

LABUAN: Kepelbagaian kebudayaan di negara ini telah berjaya mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum, dan ini telah menjadi contoh kepada kebanyakan negara.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Mahal berkata persefahaman dan semangat perpaduan haruslah dikekalkan oleh semua lapisan masyarakat.

Beliau juga menyeru agar lebih banyak program kebudayaan dianjurkan bagi memupuk dan memahat nilai-nilai persefahaman tradisi dan budaya kaum lain.

“Aktiviti-Aktiviti dan program kebudayaan haruslah dipelihara dan diperbanyakkan agar semua lapisan masyarakat memahami kebudayaan dan tradisi kaum lain. Perkara ini amatlah penting bagi melahirkan generasi yang tahu akan asal-usul kaum lain dan ini seterusnya dapat mewujudkan perpaduan kaum,” katanya ketika merasmikan Malam Kebudayaan India 2009 anjuran Universiti Malaysia Sabah (KAL) Labuan pada 14hb Feb lalu.

Katanya penglibatan mahasiswa dan mahasiswi dalam aktiviti seperti yang dianjurkan mampu memahami tanggunjawab yang perlu dipikul untuk kepentingan semua serta mengukuhkan perpaduan dan persefahaman.

“Kita yakin program seperti ini dapat mengeratkan lagi silaturahim dan integrasi pelbagai kaum,” katanya.

Menyentuh tentang program itu katanya ianya ini bukan hanya untuk berhibur tapi membawa masyarakat secara lebih dekat kepada senibudaya masyarakat India.

“Seni tarian klasik India yang wajib bagi tradisi mereka tetapi semakin kurang dikuasai oleh generasi muda masa kini, maka haruslah mengambil kesempatan ini untuk mengasah dan menonjolkan bakat-bakat mereka. Inisiatif pelajar yang mengadakan program seperti ini haruslah dicontohi” tambahnya.

Sementara itu, dalam majlis itu beliau mengumunkan sejumlah RM25,000 peruntukan akan diberikan kepada UMS Labuan tahun ini untuk lima persatuan dan program kebudayaan universiti itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan