Isnin, 2 Februari 2009

PERTINGKATKAN KUALITI PERKHIDMATAN , BERSATU TANPA MENGIRA FAHAMAN POLITIK

Sempena Sambutan Hari Wilayah - 1 Feb 2009
25 Tahun Labuan Menjadi Wilayah Persekutuan...

Ahli Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Haji Mahal berkongsi saranan Perdana Menteri mengingatkan semua warga Wilayah Persekutuan (WP) Labuan agar sentiasa memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan mesra, khususnya dikalangan pemberi perkhidmatan kepada masyarakat, tidak kira di sektor awam mahupun swasta.
Katanya apa juga perkhidmatan yang diberikan perlu berteraskan kepada perkhidmatan yang baik, cekap, mesra dan ceria kerana menurutnya ini semua akhirnya akan membawa kebahagiaan kepada semua warga Labuan.
"Sama ada perkhidmatan kemudahan awam dan dalam pelbagai sector yang lain, khidmat yang diberikan haruslah memberi penekanan kepada kualiti perkhidmatan,” katanya.
Ahli Parlimen itu berkata sambutan sempena Hari Wilayah Persekutuan yang bertemakan "Wilayah Maju Warga Sejahtera" harus disemai oleh setiap warga.
Beliau berkata, Wilayah Persekutuan Labuan yang mempunyai penduduk pelbagai kaum perlu sentiasa mengekalkan perasaan harmoni, sikap toleransi, keamanan, dan hormat menghormati antara satu sama lain.
Katanya juga adalah penting bagi memastikan Wilayah Persekutuan Labuan mengekalkan seberapa boleh bersih dari kejadian jenayah dan dalam hal ini, badan seperti Rukun Tetangga boleh memainkan peranan membina.
“Warga Wilayah Persekutuan Labuan mesti ada perasaan sayang dan bangga kerana ia menjadi tempat mereka tinggal dan bekerja dan mereka perlu sentiasa memastikan kecantikan, kebersihan bangunan, penjagaan alam sekitar dan sungai yang ada di sini.
"Keindahan dan kebersihan juga perlu sentiasa dipertingkatkan. Bagi mereka yang melawat Wilayah Persekutuan, kita mahu mereka merasa keindahan kawasan ini (WP). Keindahan tidak hanya pada landskap tetapi juga pada bangunan-bangunan yang ada," katanya.
Sementara itu, beliau juga menekankan masyarakat seluruh kaum harus bersatu tanpa mengira fahaman politik.
“Sukalah saya menggesa seluruh masyarakat di Labuan supaya bersatu tanpa mengira fahaman politik dalam menentang cabaran daripada pihak tertentu yang cuba mengelirukan dan memecah-belahkan perpaduan kaum.

1 ulasan:

  1. Salam.

    Suka saya ingin memberi komentar berdasarkan apa yang Datuk perkatakan. “Sukalah saya menggesa seluruh masyarakat di Labuan supaya bersatu tanpa mengira fahaman politik dalam menentang cabaran daripada pihak tertentu yang cuba mengelirukan dan memecah-belahkan perpaduan kaum."

    Saya berasa teruja untuk memberi sedikit ulasan. Saya amat berstuju dengan apa yang Datuk katakan. Dan semestinya saya berasa berbangga menjadi warga Labuan. Datuk menggesa agar kita bersatu padu dalam walau berlainan fahaman politik. Saya melihat perkara ini sebagai satu yang unik. Walaupun saya hanya setahun jagung untuk menilai tapi bagi saya, Tanah Labuan itu cukup makmur dengan perpaduannya. Walau pun kita lihat masih ada prejudis dalam kalangan kaum akan tetapi saya berasa penduduk Labuan mampu untuk duduk semeja dengan pelbagai kaum di Labuan. Senario ini kita boleh lihat di meja-meja makan di Labuan. Kita boleh melayu,cina , india dan pelbagai kaum lain boleh duduk semeja. Malahan tidak keterlaluan saya katakan, terdapat satu ikatan unik dalam kalangan kaum di Labuan.

    Gemar saya ingin memberi contoh, orang yang saya rasakan cukup mengkagumkan saya. Salah seorang pekerja bahagian farmasi Hospital Labuan(hospital lama) mampu untuk bertutur menggunakan dialek Labuan itu sendiri walhal beliau merupakan orang cina. Ini merupakan salah satu bukti bahawa Labuan merupakan satu pulau yang kurang terganggu perpaduannya.

    Akan tetapi, tidak saya nafikan juga bahawa perkara ini andai tidak dijaga, lama kelamaan ianya akan terhakis di hati anak muda. Tidak mustahil perkara seperti di tempat lain berlaku di Labuan jika perkara ini dipandang remeh. Kita boleh mulakan mencegah berlakunya perpecahan bermula di bangku sekolah lagi. Kita lupakan fahaman politik seketika. Kita lupakan siapa musuh politik kita. Demi perpaduan yang mesti kita jaga yang menjadi kebanggaan kita, mulakan dengan mengadakan program yang boleh menjana integrasi kaum di sekolah. Insya Allah perpecahan berjaya dieelakkan.

    Suara Anak Muda
    Syapiei Mohamad

    BalasPadam