Jumaat, 5 Mac 2010

UCAPAN PENUH YB SENATOR DATO' RAJA NONG CHIK DATO' RAJA ZAINAL ADIBIN - SEMPENA MAJLIS REMUAH TERBUKA TAHU0N BARU CINA 1MALAYSIA 2010 - 28 FEB 2010


Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Gong Xi Fa Cai, Selamat Menyambut Tahun Baru Cina kepada semua kaum Tionghua di Wilayah Persekutuan Labuan.

Saya berasa sangat gembira kerana berpeluang hadir bersama di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 1Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan.

Tahniah dan syabas juga saya ucapkan kepada Pejabat Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Labuan YB Datuk Yussof Hj Mahal dan MCA Bahagian Labuan di atas penganjuran majlis ini. Saya difahamkan majlis ini diadakan hasil kerjasama yang erat dengan persatuan–persatuan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Labuan.

Meskipun jadual saya dalam lawatan ke Labuan kali ini sangat ketat, namun saya tidak mahu ketinggalan untuk bersama-sama tuan-tuan dalam program ini. Saya anggap majlis rumah terbuka ini sebagai platform terbaik untuk memperkukuhkan perpaduan pelbagai kaum selaras dengan gagasan 1Malaysia yang dipelopori oleh YAB Dato Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional.

Dato-dato, Datin-datin, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

LABUAN CONTOH 1MALAYSIA

Kehadiran anda semua pada hari ini, yang kita lihat bukan sahaja terdiri daripada masyarakat Cina tetapi juga kaum lain seperti Melayu, India, Kadayan, Brunei, Kadazandusun, Iban dan lain-lain adalah bukti Gagasan 1Malaysia telah wujud sejak sekian lama di bumi Labuan.

Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 1Malaysia 2010 ini juga menunjukkan kepada kita semua bahawa warga Labuan dan BN di sini sentiasa terus bersatu di bawah kepimpinan YB Datuk Yussof Haji Mahal, Ahli Parlimen Labuan. Tahniah kepada YB Datuk Yussof di atas perlantikan beliau sebagai Pengerusi Penyelaras BN Labuan.
Hadirin yang saya hormati sekalian

Saya yakin dengan adanya pelbagai program komuniti Ahli Parlimen Labuan seperti “Apa Khabar Orang Kampung”, pelbagai isu dapat dijawab dan diselesaikan menerusi dialog bersama ketua-ketua jabatan kerajaan. Ini akan dapat memperkukuhkan keyakinan rakyat kepada kita dan memastikan BN terus bertapak di Labuan, sekaligus menjadi salah satu penyumbang kepada kemenangan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

KUKUHKAN PERPADUAN

Sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap kemajuan dan kebajikan Wilayah Persekutuan Labuan, adalah menjadi harapan saya agar perpaduan kaum terus terjalin di sini. Saya menyeru seluruh warga Labuan, tidak kira sama ada ahli politik, kakitangan kerajaan, ahli NGO, orang perseorangan atau pun ahli perniagaan, supaya sentiasa memperkukuhkan keharmonian dalam hubungan sesama kita.

Telah menjadi kelaziman di Malaysia, setiap kali tiba sesuatu perayaan, ia pasti akan menjadi acara yang disambut secara bersama oleh seluruh rakyat Malaysia, tidak mengira kaum atau agama.

Kita adalah satu-satunya negara di dunia, di mana tradisi kunjung-mengunjung rumah sahabat handai, rakan taulan dilakukan di musim-musim perayaan, seperti Tahun Baru Cina ini. Jadi kita mestilah mempertahankan amalan unik ini pada setiap masa.

PENUTUP


Akhir kata, saya mengucapkan tahniah di atas kejayaan menganjurkan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 1Malaysia peringkat Parlimen Labuan. Tidak lupa juga, saya ingin menjemput semua yang ada di sini ke Dataran Labuan malam ini untuk menghadiri Majlis Penutup Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2010. Marilah beramai-ramai kita memeriahkan lagi suasana di dataran bersejarah itu.

Sekian.

Wabillahitaufik Walhidayah
Wassalamu Alaikum Warahmatullahi
Wabaraktuh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan