Ahad, 19 April 2009

KIKIS SIKAP TAKSUB KEPADA PEMIMPIN LALU - PROGRAM PUSINGAN KE-2 "APA KHABAR ORANG KAMPUNG"

LABUAN: Ahli Parlimen Labuan Kol. (K) Datuk Haji Yussof Mahal menggesa masyarakat pelbagai kaum agar mengikis sikap “taksub” dalam menyokong setiap pemimpin.

Beliau berkata pemimpin-pemimpin negara meskipun di peringkat tertinggi silih berganti dan ini harus dierima oleh seluruh masyarakat.

“Kita tidak harus taksub dalam menyokong pemimpin khususnya yang telah digantikan dengan pemimpin baru. Apa yang penting adalah memastikan perpaduan seluruh kaum terus terus terpelihara dan diperkukuhkan,” katanya ketika berucap pada pusingan Ke-2 program Parlimen “Apa Khabar Orang Kampung” di Kg Ganggarak. Program pusingan pertama beliau adalah di Kg Rancha-Rancha pada awal bulan April.

Program ini adalah untuk membolehkan penduduk kampung berhadapan dengan ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan dan untuk mendapat penjelasan pelbagai isu secara bersemuka dan serta merta.

“Janganlah kerana ketaksuban kepada seseorang pemimpin menjadikan kita lupa ianya boleh memporak-perandakan perpaduan kaum. Lihatlah apa yang terjadi di negara jiran kita Thailand kerana ketaksuban sebilangan penyokong bekas pemimpin mereka, keadaan menjadi huru-hara dan menjejaskan imej negara itu sendiri…dan ini kita tidak mahu lihat berlaku di pulau ini,” katanya.

Yussof menggantikan Datuk Suhaili Abd Rahman selepas pucuk kepimpinan Barisan Nasional tidak menyenaraikannya dalam senarai calon BN dipilihanraya lalu. Jawatan Suhaili sebagai Ketua Bahagian UmnoLabuan juga gugur ekoran daripada dakwaan terhadapnya dimahkamah baru-baru ini.

Yussof menekankan ketaksuban khususnya dikalangan pemimpin diperingkat kampung terhadap seseorang pemimpin (pemimpin lalu), boleh menyebabkan mereka itu leka terhadap peranan dan tanggungjawab mereka dalam memastikan perpaduan di kawasan mereka itu terus terpelihara.

“Kita tidak mahu hanya kerana saya menggantikan pemimpin terdahulu, ketaksuban dikalangan pemimpin kampung terhadap pemimpin mereka dahulu itu masih dirasai dan dilihat, sekaligus cakap-menyakap dikedai kopi dan warung-warung dikampung masih berterusan, sedangkan banyak lagi kerja yang harus mereka harus lakukan dalam memastikan penduduk kampung terus menikmati program pembangunan kerajaan,” tambahnya.

Dalam perkembagangan lain Yussof juga mengingatkan masyarakat Labuan agar mengamalkan sikap berhemah dalam perbelanjaan mereka berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu yang diramalkan lebih serius pada hujung tahun ini.

“Janganlah kita leka dengan hal perbelanjaan. Kerajaan telah meluluskan mini bajet (RM60 billion) yang begitu tinggi. Jelas menunjukkan ekonomi negara kita kini merundung,” katanya.

Sementara itu, Yussof juga berkesempatan merasmikan Malam Kebudayaan India anjuran Dewan Perniagaan India dan Perusahaan yang menyaksikan pelbagai tarian kaum India dan Sikh dipersembahkan. Penyanyi utama kumpulan Alleycats Datuk David Arumugam juga turut menghiburkan para jemputan.

PROGRAM PUSINGAN PERTAMA "Apa Khabar Orang Kampung" DILANCAR DI KG. RANCHA-RANCHA

LABUAN: Ahli Parlimen Kol. (K) Datuk Haji Yussof Mahal melancarkan program baru masyarakat yang dinamakan “Apa Khabar Orang Kampung” sebagai usahanya untuk mengenal pasti permasalahan rakyat dengan lebih berkesan.

Program pusingan pertama yang bermula pada 11 April lalu bermula di Kg Rancha-Rancha akan dilebarkan di kesemua 26 kampung yang lain.

“Ini adalah program masyarakat yang baru sepanjang tahun ini. Ianya berkesan untuk mengenal pasti permasalahan rakyat yang dihadapi oleh rakyat di kawasan parlimen saya,” katanya.

Program yang mempunyai sejam berdialog dengan ketua-ketua jabatan kerajaan adalah untuk memberikan penjelasan serta merta dan bersemuka kepada penduduk kampung.

“Penduduk kampung mungkin menghadapi masalah berjumpa degan ketua-ketua jabatan kerajaan, tetapi dengan adanya program ini, ianya akan dapat membantu mereka. Seperti hari ini , kita dapat melihat pelbagai isu dan permasalahan nelayan diselesaikan dengan segera,” katanya.

Yussof tidak menafikan banyak masalah tidak dapat diselesaikan berikutan kesukaran mendapat temujanji dengan ketua-ketua jabatan.
Semasa program itu berjalan, pelbagai aduan diutarakan termasuklah berhubung dengan perlaksanaan projek pembangunan yang tidak siap yang telah menyebabkan kesulitan kepada penduduk-penduduk kampung.

Dalam pada itu, Yussof juga menggesa belia-beliau yang belum mendaftar sebagai pengundi agar berbuat demikian di pejabat pilihanraya.
“Tunaikanlah tanggungjawab anda sebagai warga Malaysia” katanya.

Selasa, 24 Mac 2009

Parlimen Labuan Bantu Bina Rumah Bernilai RM38,000 Untuk Keluarga Miskin

LABUAN: Seorang warga emas bersama empat orang anaknya kini menarik nafas lega apabila mendapat bantuan sebuah rumah dibawah projek perumahan rakyat termiskin (PPRT).

Penerima bantuan berkenaan, Ghani Jumat berkata rumah tersebut yang dibina tidak jauh dari rumah yang didiami beliau dan keluarganya sejak 15 tahun lalu telah mengubah hidup mereka sekeluarga yang sebelum ini tinggal dalam keadaan tidak selesa di rumah yang serba daif.

Beliau dan keluarganya melahirkan rasa syukur dan berterima kasih diatas bantuan rumah dibawah peruntukan Pejabat Parlimen Labuan itu.

Beliau yang bekerja sebagai seorang nelayan serta memperolehi pendapatan tidak tetap turut menerima bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM300 sebulan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Mahal menyerahkan kunci rumah kepada Ghani di Kg Layang-Layangan.

Dalam pada itu, Yussof berkata Pejabat Parlimen Labuan mengambil inisiatif memberi peruntukkan sebanyak RM38, 000 untuk membina rumah berkenaan dengan kadar segera memandangkan rumah yang sebelum ini didiami keluarga tersebut berada dalam keadaan daif.

Yussof berkata Pejabat Parlimen Labuan dengan bantuan jabatan dan agensi kerajaan lain akan terus mencari dan mengenal pasti rakyat yang memerlukan bantuan seperti mana dalam Projek Cari yang dilancarkan oleh Kerajaan baru-baru ini.

“Kita akan turun padang dan melihat sendiri kesusahan yang dialami oleh rakyat kita, dan menyegerakan bantuan,” katanya.

Khamis, 12 Mac 2009

KESATUAN UMAT ISLAM PERLU DIPELIHARA - Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1430

LABUAN: Permuafakatan dan kesatuan umat islam perlu sentiasa diperlihara dan diperkukuhkan supaya umat islam mempunyai kekuatan menghadapi cabaran-cabaran dunia globalisasi.
Ahli Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Mahal berkata umat islam hendaklah mengutamakan kesatuan kerana hanya melalui kesatuan yang kukuh sahaja umat islam mampu menghadapi apa juga cabaran.
“Bersatu kita teguh bercerai kita roboh, itulah peribahasa yang harus kita terapkan dalam diri kita.” katanya ketika merasmikan Sambutan Maulidur Rasul 1430 Peringkat Wilayah Persekutuan baru-baru ini.
Yussof berkata umat islam harus bijak menangani apa juga masalah dan jangan melakukan sesuatu yang boleh mendedahkan kelemahan ummah dan sekiranya timbul apa-apa masalah sesama islam, maka seharusnya diselesaikan mengikut ajaran islam.
Kehebatan dan kesucian ajaran agama islam sebenarnya bergantung pada sikap dan tingkah laku masyarakat islam itu sendiri dan tidak seharusnya menyalahkan masyarakat lain sekiranya wujud pandangan serong daripada masyarakat lain, yang mana disebabkan kegagalan umat islam sendiri menonjolkan nilai-nilai murni kehidupan murni mengikut ajaran islam.
“Umat islam juga berusaha memberi kefahaman kepada masyarakat lain bahawa agama islam itu Ad-Din iaitu cara hidup (Way of Life). Seharusnya kita berusaha untuk menerangkan kepada masyarakat dunia bahawa islam itu agama perdamaian, keamanan, perpaduan dan persaudaraan. Dan agama islam itu juga menghormati hak-hak bukan masyarakat islam di negara ini,” katanya.
Yussof berkata peristiwa hitam yang dilalui oleh umat islam di abad ke-21 ini menuntut kesatuan hati dikalangan masyarakat islam dan seluruh dunia islam untuk membina kekuatan dalam menghadapi badai yang melanda seluruh dunia islam.
“Sememangnya model permuafakatan dan kesatuan Malaysia mampu menjadi pendekatan pengurusan konflik dan pembangunan negara. khususnya kepada dunia islam yang ketika ini semakin lemah dan nazak akibat konflik dalaman yang tidak putus-putus. Permuafakatan dan kesatuan kalangan negara islam yang semakin rapuh dapat dilihat dengan tindakan negara-negara di rantau Asia Barat yang tidak mengambil tindakan pembelaan di atas konsep perpaduan islam ketika umat islam ditindas dan mengharapkan bantuan,” tambahnya.
Status permuafakatan dan kesatuan kaum dan perpaduan negara islam dirantau Asia Barat semakin parah apabila konsep kesatuan islam diguna pakai oleh negara-negara Asia Barat dibatasi oleh batasan sempadan dan kempentingan negara masing-masing.
Justeru, dunia islam khususnya negara Asia Barat boleh merujuk konsep permuafakatan dan kesatuan Malaysia sebagai kaedah dalam penyelesaian konflik perpaduan dan kemajuan di rantau berkenaan.
“Bagi kita di W P Labuan, khususnya di Malaysia amnya, kita berasa maat bertuah hidup dengan penuh harmoni dan berpeluang mengamalkan cara hidup islam dengan kemudahan serta prasarana yang disediakan oleh kerajaan. Rasa kesyukuran ini perlu dijelmakan dalam diri kita, keluarga serta masyarakat secara komited dengan meningkatkan penglibatan kita dalam pelbagai aktiviti keagamaan yang diadakan samada diperingkat masjid, surau dan pusat komuniti yang diwujudkan di kampung-kampung,” katanya.
Yussof juga berkata budaya cintakan ilmu merupakan yang mana sebahagian sunnah Rasullullah SAW perlu diteruskan dan diimarahkan bagi melahirkan modal insan yang beriman, berilmu dan bertakwa yang akan diwariskan generasi masa hadapan.
Sementara itu Ahli Parlimen itu berkata penglibatan sebanyak 78 kontingen dalam perarakan tahun ini juga mencerminkan komitmen Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (JAWI) yang dibantu oleh Perbadanan Labuan dan jabatan-jabatan berkaitan.
“Kita harapkan lebih banyak kontingen pada masa hadapan. Saya ucapkan tahniah diatas kejayaan jabatan-jabatan dalam penganjuran perarakan ini,” katanya.
Majlis perarakan Maulidur Rasul tahun ini juga menerima kejutan apabila beberapa pemimpin masyarakat Cina turut sama melibatkan diri dalam perarakan ini yang mana diketuai oleh Ketua Bahagian MCA Chin Hon Vui sebagai penghormatan mereka terhapat anutan masyarakat islam.
“Ini adalah hasil usaha kita dalam memperkukuhkan perpaduan pelbagai kaum di Labuan ini dalam pelbagai acara kebudayaan masyarakat Cina seperti Gong Xi Ca Cai dan Chap Goh May,” Yussof berkata, sambil menambah akan ada lagi kaum lain yang akan turut terlibat dalam perarakan seperti ini.
Dalam perarakan itu, Kg Sg Bedaun diumumkan sebagai johan bagi kategori kampung untuk kedua-dua pertandingan perbarisan dan sepanduk, manakala Sekolah Rendah Agama Sg Bedaun menang bagi kategori sekolah untuk pertandingan sepanduk.
Jabatan Kastam turut johan bagi pertandingan sepanduk kategori uniform manakala Pangkatan Udara Labuan johan bagi pertandingan perbarisan. Johan akan menerima RM500 beserta sijil.
Yussof ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang berkata, kemenangan yang diperolehi Kg Sg Bedaun dan sekolah berkenaan adalah hasil kesatuan dan perpaduan yang telah lama ditunjukkan oleh pemimpin di kampung berkenaan.
“Apa yang saya difahamkan, kontingen Kg Sg Bedaun yang dipimpin oleh Sahari Amdan telah membuat persiapan yang gigih. Inilah yang patut contoh. Kita ucapkan tahniah kepada mereka dan kepada yang tidak bernasib baik, harus berusaha lagi tahun hadapan,” katanya.