Rabu, 28 Januari 2009

PELBAGAIKAN AKTIVITI DAN PROGRAM PEMANTAPAN PERPADUAN DI PUSAT MUZAKARAH DAN BALAI RAYA DI SETIAP KAMPUNG



LABUAN--Ahli Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Haji Mahal menyeru penduduk kampung khususnya pemimpin masyarakat, ketua kampung dan ahali-ahli jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung agar memberi penekanan lebih kepada usaha dalam pembangunan dan perpaduan masyarakat.
Katanya adalah penting bagi semua lapisan masyarakat tidak mengira kaum agar mementingkan perpaduan bagi mengelak perpecahan berlaku yang tidak memberi apa-apa kebaikan kepada sesuatu masyarakat.

"Banyak yang telah kita lihat dan dengar pelbagai isu yang menyentuh sensitiviti dan kepentingan kaum. Oleh yang demikian janganlah kita biarkan perpecahan dikalangan masyarakat berlaku, hanya kerana sesuatu isu, yang kita sebenarnya masih boleh selesaikan alui semangat kawan," katanya.
Katanya, janganlah kerana perbezaan perjuangan politik, permusuhan itu dibiarkan terus berkekalan.
Yussof mengingatkan pemimpin masyarakat terutamanya ketua-ketua kampung agar menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat setempat yang tanpa kita sedari sentiasa memerhati daya kepimpinan ketua kampung itu sendiri.
Dengan pelbagai isu rancak yang diketengahkan oleh sesuatu pihak, samada di kem-kem dan parti-parti politik, pertubuhan ataupun persatuan, pemimpin-pemimpin masyarakat yang terdiri daripada ketua-ketua kampung dan pemimpin serta ahli-ahli JKKK harus berganding-bahu merancang dan merangka program-program yang boleh memantapkan lagi perpaduan di kampung-kampung masing. Kita tidak mahu hanya kerana tranformasi atau perubahan kepimpinan dan perbezaan ideologi politik, kita tidak lagi mahu bekerjasama membantu memulihkan keadaan yang negara hadapi kini, hanya kerana bimbang diketahui oleh seteru politik masing-masing.
"Sampai bila kita harus membiarkan diri terus dijajah oleh sesuatu pihak yang tidak sanggup melihat realiti itu harus diterima samada pahit atau pun manis. Kita harus mendidik diri kita masing-masing agar dilengkapi dengan jati diri dan moral yang tinggi, agar tidak mudah tunduk dengan unsur-unsur pembawa kepada perpecahan," katanya.

Adakah kita harus terus "BERIYA" mengangguk kepala menurut perintah, hanya untuk memastikan apa yang dihajat terkota, sedangkan diri pada hakikatnya menjadi hamba. Beringatlah bahawa perpaduan yang telah lama terpelihara harus dikekalkan dan dimantapkan. Janganlah kerana pecah-belah kaum yang direka khas untuk cita-cita politik sesuatu pihak, kita terpaksa merenung jauh, mengurut dahi, berkengkang mata membuang masa memulihkan semula keretakan perhubungan kaum yang sepatutnya tidak harus terjadi. Sedangkan masa itu boleh kita gunakan untuk memikirdan merancang perkara-perkara yang lebih patut diutamakan.
"Kenapa kita harus menimbulkan masalah yang tidak sepatutnya ditimbulkan hanya kerana untuk kepentingan ideologi tersendiri. Apa yang penting, adalah harapan saya sebagai Ahli Parlimen untuk mengingatkan pemimpin-pemimpin masyarakat khususnya ketua-ketua kampung agar tidak dijadikan jambatan oleh mana-mana pihak demi mencapai apa yang dihajatkan."
"Sebagai seseorang yang diberi kepercayaan terutamanya oleh penduduk setempat untuk menerajui kampung dalam pelbagai aspek, perbanyakanlah masa membuat perancangan untuk mengadakan perlbagai program pemantapan perpaduan masyarakat".

Janganlah kita biarkan wujudnya puak-puak tertentu dikampung-kampung kita masing-masing. Ini kerana wujudnya puak-puak adalah kerana corak kepimpinan ketua kampung itu sendiri. Hidupkan suasana balai raya dan pusat muzakarah disemua kampung dengan aktiviti-aktiviti pemantapan perpaduan.

"Dengan adanya perpaduan, akan memudahan kita untuk merancang aktiviti dan pembangunan ekonomi disesuatu kawasan. Tetapi bagaimanakah kita hendak melaksanakan pembangunan di sesuatu kampung sedangkan kampung itu sendiri berhadapan dengan pelbagai masalah perhubungan masyarakat.
Pembangunan sesuatu kawasan akan berjalan lebih lancar sekiranya penduduk kampung itu bersatu padu merancang pembangunan dikampung masing-masing.

Beliau membuat seruan ini ketika bersama Pengarah Unit Penyelerasan Perlaksanaan (ICU)Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaharil Kassim dalam majlis perasmian Pusat Muzakarah Tanjung Aru Nelayan baru-baru ini.

Dalam pada itu, ICU menyumbang satu set komputer untuk kegunaan kerja-kerja berkaitan dengan aktiviti-aktiviti Pusat Muzakarah.



Dalam majlis itu, sumbangan mangsa banjir Kg Batu Manikar kepada empat keluarga juga disampaikan bagi meringankan beban yang ditanggung.

1 ulasan:

  1. Salam. YB Datuk, ada sebarang komen berkenaan isu Pasar Babi Labuan yg sepertinya tiada kesudahan? Semoga perpaduan dan keharmonian kaum di Labuan tidak terganggu gugat disebabkan isu tersebut. Apa mungkin terdapat pihak yg sengaja mmperbesarkan isu ini dan menaguk di air yg keruh?Wassalam.

    BalasPadam