Rabu, 28 Januari 2009

PELBAGAIKAN AKTIVITI DAN PROGRAM PEMANTAPAN PERPADUAN DI PUSAT MUZAKARAH DAN BALAI RAYA DI SETIAP KAMPUNG



LABUAN--Ahli Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Haji Mahal menyeru penduduk kampung khususnya pemimpin masyarakat, ketua kampung dan ahali-ahli jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung agar memberi penekanan lebih kepada usaha dalam pembangunan dan perpaduan masyarakat.
Katanya adalah penting bagi semua lapisan masyarakat tidak mengira kaum agar mementingkan perpaduan bagi mengelak perpecahan berlaku yang tidak memberi apa-apa kebaikan kepada sesuatu masyarakat.

"Banyak yang telah kita lihat dan dengar pelbagai isu yang menyentuh sensitiviti dan kepentingan kaum. Oleh yang demikian janganlah kita biarkan perpecahan dikalangan masyarakat berlaku, hanya kerana sesuatu isu, yang kita sebenarnya masih boleh selesaikan alui semangat kawan," katanya.
Katanya, janganlah kerana perbezaan perjuangan politik, permusuhan itu dibiarkan terus berkekalan.
Yussof mengingatkan pemimpin masyarakat terutamanya ketua-ketua kampung agar menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat setempat yang tanpa kita sedari sentiasa memerhati daya kepimpinan ketua kampung itu sendiri.
Dengan pelbagai isu rancak yang diketengahkan oleh sesuatu pihak, samada di kem-kem dan parti-parti politik, pertubuhan ataupun persatuan, pemimpin-pemimpin masyarakat yang terdiri daripada ketua-ketua kampung dan pemimpin serta ahli-ahli JKKK harus berganding-bahu merancang dan merangka program-program yang boleh memantapkan lagi perpaduan di kampung-kampung masing. Kita tidak mahu hanya kerana tranformasi atau perubahan kepimpinan dan perbezaan ideologi politik, kita tidak lagi mahu bekerjasama membantu memulihkan keadaan yang negara hadapi kini, hanya kerana bimbang diketahui oleh seteru politik masing-masing.
"Sampai bila kita harus membiarkan diri terus dijajah oleh sesuatu pihak yang tidak sanggup melihat realiti itu harus diterima samada pahit atau pun manis. Kita harus mendidik diri kita masing-masing agar dilengkapi dengan jati diri dan moral yang tinggi, agar tidak mudah tunduk dengan unsur-unsur pembawa kepada perpecahan," katanya.

Adakah kita harus terus "BERIYA" mengangguk kepala menurut perintah, hanya untuk memastikan apa yang dihajat terkota, sedangkan diri pada hakikatnya menjadi hamba. Beringatlah bahawa perpaduan yang telah lama terpelihara harus dikekalkan dan dimantapkan. Janganlah kerana pecah-belah kaum yang direka khas untuk cita-cita politik sesuatu pihak, kita terpaksa merenung jauh, mengurut dahi, berkengkang mata membuang masa memulihkan semula keretakan perhubungan kaum yang sepatutnya tidak harus terjadi. Sedangkan masa itu boleh kita gunakan untuk memikirdan merancang perkara-perkara yang lebih patut diutamakan.
"Kenapa kita harus menimbulkan masalah yang tidak sepatutnya ditimbulkan hanya kerana untuk kepentingan ideologi tersendiri. Apa yang penting, adalah harapan saya sebagai Ahli Parlimen untuk mengingatkan pemimpin-pemimpin masyarakat khususnya ketua-ketua kampung agar tidak dijadikan jambatan oleh mana-mana pihak demi mencapai apa yang dihajatkan."
"Sebagai seseorang yang diberi kepercayaan terutamanya oleh penduduk setempat untuk menerajui kampung dalam pelbagai aspek, perbanyakanlah masa membuat perancangan untuk mengadakan perlbagai program pemantapan perpaduan masyarakat".

Janganlah kita biarkan wujudnya puak-puak tertentu dikampung-kampung kita masing-masing. Ini kerana wujudnya puak-puak adalah kerana corak kepimpinan ketua kampung itu sendiri. Hidupkan suasana balai raya dan pusat muzakarah disemua kampung dengan aktiviti-aktiviti pemantapan perpaduan.

"Dengan adanya perpaduan, akan memudahan kita untuk merancang aktiviti dan pembangunan ekonomi disesuatu kawasan. Tetapi bagaimanakah kita hendak melaksanakan pembangunan di sesuatu kampung sedangkan kampung itu sendiri berhadapan dengan pelbagai masalah perhubungan masyarakat.
Pembangunan sesuatu kawasan akan berjalan lebih lancar sekiranya penduduk kampung itu bersatu padu merancang pembangunan dikampung masing-masing.

Beliau membuat seruan ini ketika bersama Pengarah Unit Penyelerasan Perlaksanaan (ICU)Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaharil Kassim dalam majlis perasmian Pusat Muzakarah Tanjung Aru Nelayan baru-baru ini.

Dalam pada itu, ICU menyumbang satu set komputer untuk kegunaan kerja-kerja berkaitan dengan aktiviti-aktiviti Pusat Muzakarah.



Dalam majlis itu, sumbangan mangsa banjir Kg Batu Manikar kepada empat keluarga juga disampaikan bagi meringankan beban yang ditanggung.

PROJEK INFRASTRUKTUR RM2.7 JUTA UNTUK LABUAN

LABUAN -- Projek pembangunan infrastruktur bernilai RM2.7 juta, diserahkan kepada 28 kontraktor di pulau bebas cukai ini sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan bagi membantu kontraktor tempatan bertahan dalam mengharungi persekitaran ekonomi yang suram ini.

Projek untuk kontraktor Kelas F yang diagihkan menerusi Unit Penyelarasaan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, adalah selari dengan pakej rangsangan yang diumumkan kerajaan membabitkan RM7 bilion.

Projek yang diagihkan menerusi proses pengundian berkomputer itu menarik penyertaan 162 kontraktor.

Ia dilaksanakan oleh para pegawai ICU yang diketuai Pengarah Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Zaharil Kasim.

"Ia merupakan proses pengundian yang adil dan telus. Kami tidak mengamalkan cara yang tidak sihat seperti yang didakwa sesetengah pihak. Kami cuba seadil mungkin.

"Ia dilaksanakan menerusi pendaftaran terbuka sebelum pengundian dilakukan," katanya pada sidang media selepas pengundian itu.

Sementara itu, Anggota Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Mahal berkata walaupun hanya RM2.7 juta diperuntukkan untuk Labuan daripada RM600 juta yang dipohon oleh parlimen itu, beliau yakin lebih banyak dana akan disediakan untuk pulau berkenaan pada masa depan.

Dana itu disediakan untuk menyediakan kemudahana asas kepada penduduk serta membangunkan semula infrastruktur yang rosak akibat malapetaka semula jadi, katanya.

Yussof juga mengingatkan kontraktor-kontraktor yang berjaya mendapat projek agar berusaha gigih dan memastikan projek pembangunan yang diluluskan untuk dilaksanakan demi kepentingan rakyat tidak bermasalah.

"Laksanakan projek yang telah diluluskan dengan kualiti kerja yang diharapkan demi kepentingan rakyat," katanya.

Kepada kontraktor yang tidak berjaya mendapat sebarang projek dalam proses pengundian itu, beliau menasihatkan agar tidak putus asa oleh kerana akan ada proses pengundian dimasa akan datang untuk memberi peluang kepada mereka.

"Kita mengharapkan proses pengundian dan pendaftaran terbuka kepada pemegang lesen Kelas F berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian, begitu juga dengan pendafataran yang dilaksanakan oleh Pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri. Kita berusaha untuk bersikap adil dalam pemberian projek. Kita mahu lihat kontraktor Bumiputera khususnya di Labuan ini diberi peluang untuk bersama kerajaan dalam pembangunan dikawasan masing-masing," tambahnya.

Rabu, 21 Januari 2009

AHLI PARLIMEN LABUAN BERI SUMBANGAN PERIBADI KEPADA MANGSA KEBAKARAN DI KG GANGGARAK



LABUAN: Sebuah rumah yang disewa oleh seorang guru musnah dalam satu kebakaran pada Isnin di Kampung Ganggarak.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Mohd Eirwan Hussien berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.20pagi.

Seramai 32 anggota dengan tiga jentera dari tiga balai – Kg Jawa, Layang-Layangan dan Tun Mustapha bergegas ketempat kejadian dan berjaya memadamkan api kira-kira jam 10.35pagi.

Punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan. Tetapi tidak menolak kemungkinan litar pintas kemungkinan punca kebakaran berlaku.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Haji Mahal ketika berada ditempat kejadian menasihati penduduk kampung terutamanya agar memastikan aspek keselamatan dirumah sentiasa diberi perhatian.

Beliau sempat memberikan sumbangan peribadi tunai kepada mangsa bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung.

Ahad, 18 Januari 2009

PELAJAR-PELAJAR CEMERLANG PMR 2008 DAN PIBG TERIMA SUMBANGAN AHLI PARLIMEN LABUAN


LABUAN: Ahli Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Haji Mahal meluangkan masa meraikan kecemerlangan pelajar-pelajar cemerlang dalam PMR 2008 dan warga pendidik Labuan dalam satu majlis sumbangan Pelajar Cemerlang 2008 pada 17 Januari di Dewan SM Teknik Labuan.
Seramai 65 pelajar dari enam buah sekolah menengah di pulau ini menerima sumbangan tunai daripada beliau sebagai penghargaan dan suntikan semangat kepada pelajar-pelajar ini untuk terus memperbaiki prestasi pelajaran mereka.
Pelajar-Pelajar ini adalah diantara penyumbang kepada imej pendidikan Labuan yang mendapat tempat kedua dalam pencapaian kelulusan keseluruhan seluruh negara.
Selain sumbangan kepada pelajar-pelajar ini, sebanyak 26 Persatuan Ibubapa dan Guru turut menerima sumbangan daripada beliau bagi menampung aktiviti-aktiviti dan program-program persatuan ini.
Dalam kesempatan itu, Yussof juga meningatkan ibu bapa agar turut memainkan peranan proaktif mereka terutamanya dirumah dan tidak meletakkan kesemuanya dibahu guru sekolah.
"Perlu kerjasama dari ibubapa. Kita tidak boleh meletakkan 100 peratus kepada warga pendidik dalam memastikan pembelajaran anak kita ditahap yang memuaskan," katanya.
Disamping itu katanya, pelajar-pelajar yang mendapat kecemerlangan dalam PMR mereka tidak harus mudah berpuas hati tetapi haruslah mengekalkan prestasi yang baik dan terus memperbaiki keputusan.
"Pelajar juga jangan lupa dengan pengorbanan ibubapa yang sentiasa memastikan pembelajaran anak-anak mereka berterusan. Cuba renungkan bagaimana pengorbanan ibubapa kita...bagaimana mereka bekerja siang malam untuk melihat anak mereka berjaya...fikirkanlah," katanya.