LABUAN--Penduduk setempat memainkan peranan penting menyalurkan maklumat membantu kerajaan mengatasi masalah kekurangan dan kelemahan yang masih terdapat di Labuan.
Ahli Parlimen Labuan, Datuk Haji Yussof Haji Mahal berkata hanya melalui maklumat dan maklum balas penduduk setempat yang disampaikan secara terus saja tindakan susulan dapat diambil.
“Kita tidak menafikan masih ada beberapa kekurangan dan kelemahan yang masih belum diatasi di Labuan, tetapi peranan tuan-tuan lah yang sebenarnya diharapkan untuk membantu mengurangkan masalah berkenaan dan secara tidak langsung menangani masalah tersebut.” katanya ketika merasmikan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Labuan, Sambutan Hari Ulangtahun RTM ke-64 dan Program Eh Dih Dih Badudun Kitani di Padang Pajal Pohon Batu pada 25 April dekat sini.
Katanya, kerjasama semua pihak dan kesanggupan mereka bekerja bersama-samanya adalah amat penting untuk mempercepatkan lagi usaha mengatasi masalah yang dihadapi rakyat di Labuan.
Yussof menekankan penduduk Labuan sebenarnya amat beruntung dan bertuah berbanding dengan penduduk di kawasan lain di dalam negara ini. Ini kerana segala kemudahan dan pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan dinikmati oleh semua rakyat baik di kampung mahupun di bandar.
“Hampir ke semua kampung menikmati kemudahan jalan sehinggakan ada yang sampai di halaman rumah. bekalan elektrik dan sebagainya. Di Labuan juga penduduknya ditawarkan dengan pelbagai peluang perniagaan dan kemahiran hidup menerusi agensinya.”
Menurut beliau lagi, keadaan ini jauh berbeza di tempat lain di mana penduduknya terpaksa mencari peluang dan berebut untuk mengisi ruang yang ditawarkan. Bahkah ada banyak lagi kawasan yang belum mendapat kemudahan sebaik seperti yang terdapat di Labuan.
“Ini secara tidak langsung membuktikan kerajaan sentiasa perihatin dan mengambil berat terhadap rakyatnya dengan penglibatan semua golongan tanpa mengira kaum dan agama.” katanya.
Tambahnya, ia amat bertepatan dengan konsep 1 Malaysia, “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” yang mana setiap program yang dilaksanakan melebihi kehendak rakyat tanpa mengenepikan matlamat serta mengambil kira kesan serta impak penganjurannya.
Yussof turut memuji usaha Jabatan Kesihatan dan RTM yang telah menjalinkan kerjasama menganjurkan program kemasyarakatan serentak walaupun pada dasarnya peranan kedua-dua agensi ini jauh berbeza.
Pelbagai aktiviti menarik membabitkan kesihatan dan hiburan serta sukan melibatkan
penyertaan kakitangan kedua-dua agensi dan penduduk kampung disediakan bagi memeriahkan lagi program sehari tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan