Khamis, 29 April 2010

Parlimen Labuan Sedia RM50,000 Biaya Aktiviti PIBG



LABUAN, 25 April -- Sejumlah RM50,000 diperuntukkan bagi menggerakkan program dan aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) semua sekolah di Labuan tahun ini, kata Anggota Parlimen Labuan Datuk Yussof Mahal.

"Kami memperuntukkan RM2,000 setiap sekolah bagi sembilan sekolah menengah, dan RM1,000 untuk setiap 15 sekolah rendah, dua sekolah rendah Cina dan 10 buah sekolah rendah agama. Bakinya RM5,000 adalah bagi Pusat Ko-Kurikulum Labuan," katanya selepas merasmikan pusat itu di sini.

Yussof berkata anggota PIBG hendaklah memainkan peranan aktif untuk membantu sekolah melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dan bukan "hanya memegang jawatan untuk kepentingan sendiri atau menjadi popular".

Dalam perkembangan lain, Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Labuan Mohammad Zaki Mohd Yusof berkata masalah disiplin pelajar-pelajar sekolah di Labuan masih terkawal, meskipun terdapat kes-kes polis melibatkan pelajar.

Sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini, 400 kes kesalahan disiplin pelajar direkodkan daripada sejumlah 14,459 pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh Labuan, katanya."

Kebanyakan kes disiplin ini membabitkan kesalahan asas dan kita yakin kempen kosong peratus pelanggaran disiplin dapat mencapai matlamatnya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan