LABUAN: Selepas berapa lama mendiamkan diri dari terlibat dalam perdebatan isu jawatan pengerusi Perbadanan Labuan, Ahli Parlimen Datuk Haji Yussof Mahal membuat pendirian dan menegaskan “berhentilah jadikan jawatan pengerusi Perbadanan Labuan sebagai isu politik.”, sebaliknya, rakyat Labuan dan pemimpin masyarakat harus memberi tumpuan kepada usaha perpaduan dan persefahaman.
“Tidak perlu kita panjangkan isu ini kerana tidak akan memberi faedah kepada kita, malahan menimbulkan permusuhan diantara pihak tertentu. Soal penyambungan kontrak atau siapa yang mengganti tempat bukan persoalan, tetapi apa yang penting penumpuan kepada hala tuju pembangunan ekonomi Labuan untuk rakyat Labuan.
Beliau mengulas komen dalam blog tempatan berhubung isu jawatan pengerusi Perbadanan Labuan dan Ketua Pegawai Eksekutif yang mengaitkan nama beliau sebagai pengganti Datuk Ahmad Phesal Talip sebagai pengerusi dan Datuk Basiran Saban (Ketua Pegawai Eksekutif )bakal digantikan oleh Jusoh Salleh (yang kini menjawat jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan).
“Tidak perlu membuat andaian dalam mengeluarkan apa-apa komen, sebaliknya harus lebih beretika dan bertanggungjawab dalam penulisan. Adalah tidak beretika membuat andaian tanpa membuat klarifikasi, ini kerana hanya akan mengundang permasalahan undang-undang, sekiranya ianya berbau hasutan, fitnah atau menjatuhkan imej seseorang,” katanya.
Yussof berkata beliau kini lebih selasa dengan jawatan sebagai Ahli Parlimen yang berusaha sedaya upaya untuk membantu menyelesaikan permasalahan rakyat.
Penyelesaian kepada permasalahan rakyat adalah penting bagi saya sebagai Ahli Parlimen, ini kerana merekalah yang menyokong dan membawa kemenangan kepada Barisan Nasional di Labuan. Tidak perlu membincangkan isu ini dikedai-kedai kopi dan kedai makan. Ubahlah topik perbincangan harian kita iaitu dengan topik-topik yang lebih mendatangkan faedah kepada rakyat,” tambahnya.
Beliau berkata, “tidak semestinya hanya memegang jawatan Pengerusi Perbadanan Labuan, hanya akan mampu menyelesaikan isu-isu dan permasalahan rakyat...saya dipilih oleh rakyat dan seharusnya saya berkhidmat kepada rakyat dan bukan memburu kuasa sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan,” katanya.
Katanya adalah lebih baik menyerahkan isu seperti ini kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahtaeraan Bandar, sebagai pihak yang pembuat keputusan.
“Apa yang penting bagi saya sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat adalah bekerja dan berusaha sedaya upaya memastikan keselesaan untuk rakyat. Saya akan cuab menyuarakan hak dan kepentingan rakyat diperingkat persekutuan...dan ini yang amat penting bagi saya dan penting bagi rakyat. Saya ingin melihat keadilan dalam penyaluran pembangunan seperti mana yang dinikmati oleh rakyat di negeri lain.
Inilah kayu pengukur kepada prestasi saya sebagai pemimpin,” tegasnya.
“Oleh yang demikian, marilah kita bersama merapatkan jurang yang sebelum ini ada sedikit kelihatan, demi perpaduan dan pembangunan Labuan. Saya berterima kasih kepada ketua kampung yang telah bekerjasama dengan pihak saya memperjuangkan hak penduduk kampung. Perubahan ini amatlah saya hargai,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan