LABUAN -- Ahli Parlimen Labuan, Datuk Haji Yussof Haji Mahal berkata usaha-usaha tetap diteruskan agar “kesamarataan” agihan peruntukan dibawah Rancangan Malaysia Ke-10 diberikan kepada Labuan.
Menurut beliau, rakyat Labuan dapat merasai nikmat pembangunan yang seimbang dan kemudahan infrastruktur lebih baik sekiranya Labuan yang juga merupakan sebahagian daripada Wilayah Persekutuan turut menerima agihan peruntukan sama rata seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Kedudukan Labuan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan setaraf Kuala Lumpur dan Putrajaya dan seharusnya keistimewaan taraf pembangunan itu turut dinikmati oleh rakyat Labuan,” katanya pada program Apakhabar Orang Kampung di Kampung Sungai Lada, malam tadi.
Yussof menambah, tidak dapat dinafikan Labuan kini tidak ketinggalan dari aspek pembangunan tetapi pada masa yang sama banyak lagi keperluan dan keselesaan rakyat yang memerlukan peningkatan dan penambahbaikan.
Menurutnya lagi “sekiranya cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan ke tanah besar Sabah hanya dapat dipertimbangkan pada tahun 2015, sekarang ini keperluan rakyat yang harus diberikan perhatian segera oleh kerajaan adalah keutamaan ke arah meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan laut sedia ada.”
Katanya lagi, selain pengangkutan laut yang menjadi penghubung utama antara rakyat Labuan, Sabah dan Sarawak, sistem jalan raya dan beberapa kemudahan asas lain untuk keselesaan rakyat Labuan tetap diambil perhatian setiapkali perbahasan sidang Parlimen.
Yussof berkata kini rakyat boleh mengakses intipati perbahasan dan pelbagai perkara yang diusulkan dari kawasan parlimen Labuan menerusi laman web Daily Mail.
Pada majlis yang dihadiri lebih 500 penduduk kampung itu, Yussof mengumumkan peruntukan dari parlimen Labuan berjumlah RM20,000 untuk meningkatkan dan menambah baik kemudahan rekreasi di Kampung Sungai Labu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan