LABUAN, 26 Jun -- Program kemasyarakatan siswazah universiti Semenanjung Malaysia perlu dilaksanakan lebih kerap bagi mendedahkan mereka mengenai keunikan budaya dan kehidupan masyarakat Labuan.
Ahli Parlimen Labuan, Datuk Haji Yussof Haji Mahal berkata dengan mengikuti program kemasyarakatan seperti itu, para siswazah ini berpeluang melihat sendiri keunikan budaya dan merasai corak kehidupan masyarakat Labuan yang tidak terdapat di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.
“Para siswazah program Baktisiswa ini belajar hidup di atas air dengan mengalami sendiri keunikan budaya, makanan dan amalan kehidupan masyarakat Melayu Brunei di Kampung Patau-Patau, yang asalnya penempatan penduduk di sini menyara kehidupan sebagai nelayan,”katanya pada majlis penyerahan seramai 35 peserta Baktisiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada lapan keluarga angkat masing-masing di Kampung Patau-Patau 2, di sini.
Yussof menambah selama berada dengan keluarga angkat tersebut, para siswazah yang datang dari pelbagai latarbelakang kehidupan ini dapat menimba pengalaman yang boleh pula dijadikan landasan kehidupan mereka di masa depan.
“Para peserta haruslah memanfaatkan pengalaman hidup kampung di atas air yang tidak ada di Semenanjung Malaysia ini. Segala yang indah dan menarik selama berada di Kampung Patau-Patau ini kongsikan dengan rakan-rakan yang tidak berpeluang ke sini,.” tambahnya.
Yussof yakin peserta program Baktisiswa dengan latarbelakang pendidikan sains ini tidak akan melupai norma-norma kehidupan adat melayu yang diwarisi sejak berzaman lamanya.
“Walaupun mengikuti pengajian sains, janganlah sampai melupakan budaya sendiri sebaliknya seimbangkan kecanggihan sains dengan amalan kehidupan berteraskan budaya melayu,” kata Yussof.
Program Baktisiswa Friends of Sains Labuan (FOS@L) 2010 ini antara lain bertujuan mengenal dan mendedahkan para siswazah dengan budaya penduduk Labuan sebagai sebuah pulau yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dan etnik bumiputera.
Dalam majlis itu Yussof turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM3,000 kepada urusetia program.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan