MELAKA, 16 JUN -- Wilayah Persekutuan yang merangkumi Labuan, Putrajaya dan Kuala Lumpur telah menghantar 586 orang atlit serta 114 pengurus dan jurulatih menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) ke-13 di Melaka, menjadikan ia sebagai kontinjen terbesar menyertai temasya sukan dwi tahunan tersebut kali ini.
Ahli Parlimen Labuan Datuk Yussof Mahal ketika memberi suntikan semangat kepada atlit-atlit Labuan khususnya berkata sukan terbesar negara ini adalah satu platfom kepada peserta-peserta untuk menguji kebolehan masing-masing dalam acara sukan berprestij Malaysia ini.
Beliau sempat mengingatkan para kontinjen agar menguatkan semangat dan berfikiran positif dalam menongkah arus perlawanan.
"Apa yang penting adalah semangat sukan dan sikap positif bahawa mereka boleh, meskipun berhadapan dengan lawan yang lebih hebat," katanya
Katanya Labuan meskipun hanya sebuah pulau yang kecil tapi dalam pembangunan sukan, Labuan masih mampu bersaing, ini dapat dibuktikan dengan beberapa atlit sukan pernah mengharumkan nama negara.
Dalam pada itu beliau sempat diberi penghormatan menyampaikan hadiah kepada atlit yang menjuarai sukan renang pada temasya sukan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan