Terima kasih Tuan Yang di-Pertua,
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Perdana Menteri Malaysia diatas Pembentangan Usul Rancangan Malaysia Ke-10 yang jelas amat bertepatan dalam usaha negara memperkukuhkan pacuan mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang Tahun 2020.
Tuan Yang di-Pertua,
Dikesempatan ini saya turut menggesa agar semua pihak baik yang disini mahupun disana agar turut sama berpadu tenaga dan menggembleng fikiran didalam memberi penekanan khusus kepada 10 idea atau 10 Premis Utama yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri bagi menjayakan RMK-10 ini, insyaAllah melalui perpaduan dan satu hati kita, apa yang diharapkan melalui RMK-10 ini akan tercapai seiring nawaitu ikhlas kerajaan - rancangan kemakmuran ekonomi dan keadilan sosial untuk seluruh rakyat Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
Teras Strategik Pertama: Menggubah Falsafah dan Pendekatan Kerajaan ke Arah Mentransformasikan Malaysia dengan Metodologi NKRA.
Saya amat menyambut baik usaha kerajaan untuk memberi tumpuan kepada usaha membangunkan infrastruktur bukan fizikal termasuk pembangunan modal insan seperti pembangunan kemahiran, serta keupayaan inovasi yang lebih mantap. Setelah meneliti peruntukan RMK-10 bagi infrastruktur bukan fizikal yang meningkat sebanyak 18.2% kepada 40% berbanding RMK-9 lalu, saya menyarankan agar kerajaan memfokuskan apa jua program pembangunan kemahiran dan juga aktiviti R&D dan modal teroka disalurkan mengikut kecenderungan setempat sebagai contoh UMS Kampus Antarabangsa Labuan adalah lebih tepat melakukan pembangunan kemahiran dan kajian berasaskan industri minyak dan gas (Oil & Gas) disebabkan oleh status Labuan itu sendiri selaku hub minyak dan gas di wilayah Malaysia Timur. Ini bukan hanya akan memupuk tahap inovasi negara ke arah lebih memberangsangkan malahan memberi pulangan positif kepada guna tenaga setempat dan sekaligus memberi galakan kepada sektor swasta untuk melabur dalam infrastruktur fizikal di Labuan malahan menjadi penarik kepada pihak swasta untuk sama-sama menawarkan perkhidmatan latihan kemahiran berkaitan, dengan syarat segala urusan birokrasi seperti mendapatkan lesen, permit dan sebagainya dipermudahkan oleh pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan seperti Perbadanan Labuan. Perkara sedemikian juga harus dilakukan di tempat atau wilayah lain diseluruh Malaysia untuk mendapatkan impak positif yang menyeluruh.
Tuan Yang di-Pertua,
Menyentuh mengenai Teras Strategik Kedua: Mewujudkan Persekitaran Kondusif bagi Menggerakkan Pertumbuhan Ekonomi.
Merujuk kepada 12 bidang ekonomi utama negara atau NKEA yang telah dikenalpasti, iainya adalah tepat dan bersesuai dengan trend semasa ekonomi dunia. Fakta bahawa Enterpris Kecil dan Sederhana (SME) memainkan peranan penting dalam menerajui pertumbuhan ekonomi negara adalah benar dan usaha kerajaan Membangunkan SME Sebagai Jentera Pertumbuhan dan Inovasi adalah kena pada masanya.
Pada hemat saya Enterpris Kecil dan Sederhana bukan hanya memerlukan akses yang mudah kepada kemudahan pembiayaan semata-mata namun apa yang lebih penting adalah usaha kerajaan mengharmonikan agensi berkaitan SME untuk memainkan peranan secara bersepadu agar skim-skim yang kerajaan sediakan seperti Skim Jaminan Modal dan Skim Jaminan Pengstrukturan Semula Industri yang menelan belanja 13 Bilion Ringgit ini tidak sia-sia.
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mengambil contoh semasa menghadiri dialog bersama ahli PERDASAMA Labuan baru-baru ini, saya mendapat makluman bahawa ada diantara Enterpris Kecil dan Sederhana (SME) di Labuan dan Sabah yang hanya mendapat kelulusan sijil seperti Sijil Halal daripada JAKIM setelah lebih dari setahun memohon (secara online) malahan diberitahu bahawa majoriti syarikat yang mendapat kelulusan sijil Halal Jakim ini adalah terdiri daripada syarikat non-muslim dan bukan bumiputera. Tidak kurang pula bilangan SME yang tidak tahu hujung pangkal bagaimana cara agar produk keluaran mereka mendapat status “eksport ready” iaitu lengkap dengan Persijilan Halal,GMP,HACCP, VHM sebagai contoh daripada beberapa agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH), Jabatan Haiwan dan lain-lain.
Penerangan lanjut saya, Persijilan Verterianry Health Mark (VHM) hanya diproses oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia yang beribu pejabat di Putrajaya. Meskipun Pegawai VHM disediakan melalui JPV negeri (yang berperanan sebagai wakil atau perunding semata-mata) tetapi segala proses kelulusan hanya boleh di lakukan di PUTRAJAYA. Adalah lebih cepat dan efisyen seandainya JPV Negeri dapat di beri mandat untuk memberi kelulusan Persijilan VHM ini. Persijilan VHM ini amat penting kerana ia adalah bagi semua produk hasil haiwan termasuk Daging Ayam, Lembu, Kambing, Babi dan Binatang Laut. Persijilan VHM diperlukan bagi aktiviti eksport didalam negara sebagai contoh produk makanan laut (seafood) yang di proses di Labuan perlu mendapat Persijilan VHM untuk membolehkannya di eksport atau dipasarkan ke negeri lain seperti Sabah dan Sarawak.
Bagi Persijilan Halal pula seperti terdapat 2 standard. Bagi negeri yang memiliki Majlis Agama Islam sendiri seperti JAHEINS untuk SABAH, JAIJ untuk JOHOR dan JAIS untuk SELANGOR masing-masing mengeluarkan Persijilan Halal Negeri dan hanya diiktiraf penggunaan sijil tersebut oleh negeri yang mengeluarkan. Manakala untuk pasaran domestik diantara negeri di Malaysia, hanya sijil Halal oleh JAKIM yang diiktiraf. Sijil Halal JAKIM hanya diproses oleh JAKIM Bahagian Hub Halal bertempat di Cyberjaya, Selangor. Ianya perlu beberapa proses audit seperti Audit Teknikal dan Audit Syariah.
Tuan Yang di-Pertua,
Didalam tempoh 5 Tahun ini, proses persijilan Halal ini telah beberapa kali bertukar tangan daipada JAKIM ke Halal Development Corporation (HDC) dan Tahun 2009 di bawah Menteri Agama baru, peranan Persijilan Halal oleh HDC telah ditarik dan dikembalikan kepada JAKIM Bahagian Hub Halal.
Manakala bagi Persijilan Good Manufacturing Practice (GMP) atau Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) adalah diaudit oleh syarikat perunding diiktiraf seperti SIRIM QAS International dan MOODY International. (dengan menelan belanja tidak kurang puluhan ribu) Hasil audit dari syarikat perunding ini kelak akan diaudit oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH) Putrajaya untuk kelulusan persijilan akhir. Hanya produk yang dilengkapi GMP atau HACCP diterima sebagai produk “Ekport Ready” untuk dieksport keluar negara. Harus diingat bahawa akan berlaku terlalu banyak proses pengubahsuaian dan penambahbaikan bukan hanya terhadap bangunan atau premis kilang pemohon tetapi memelukan tenaga kerja mahir dan penyediaan dokumen yang terlalu banyak bagi persijilan tersebut. Dana tersedia oleh kerajaan melalui SME Corp mahupun SME Bank dan AGRO Bank bagi tujuan persijilan ini tetapi tidak semua wilayah ada agensi ini ditem at masing-masing sebagai contoh Labuan yang berstatuskan International Offshore Financial Centre (IOFC) tidak memilik baik SME Bank mahupun SME Corp bagi mendukung pembangunan PKS di Labuan. Pelik tapi benar?
Agensi seperti TEKUN Nasional tidak mampu berperanan pemberi dana disebabkan budget pembiayaan yang kecil dan terhad. Adakalanya, renovasi terhadap bangunan atau premis kilang bagi persijilan ini boleh menelan belanja ratusan ribu ringgit bergantung kepada jenis produk yang dihasilkan.
Disinilah penekanan untuk mengharmonikan agensi berkaitan SME ini amat penting agar para SME kita kelak dapat bertapak bukan hanya di pasaran domestik malahan ke pasaran antarabangsa. Sebenarnya apa yang Enterpris Kecil dan Sederhana (SME) negara perlukan bukanlah hanya dokongan dari segi dana atau kewangan sahaja , tetapi turut memerlukan bantuan kepakaran teknikal bagi tujuan persijilan sehingga ke pemasaran produk secara berterusan tanpa karenah birokrasi yang selama ini membantutkan perkembangan Industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Negara.
Hanya dengan langkah tepat sebegini akan menyuburkan pertumbuhan Enterpris Kecil dan Sederhana (SME) di dalam negara dan sekaligus memainkan peranan penting sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi Negara terutama bagi SME yang terlibat didalam industri makanan didalam menjamin bekalan makanan negara.
Tuan Yang di-Pertua,
Beralih kepada Teras Strategik Keempat: Membangun dan Mengekalkan Modal Insan Bertaraf Dunia.
Adalah menjadi satu tindakan bijak oleh kerajaan menetapkan employability atau boleh upaya kerja graduan dijadikan satu daripada KPI universiti. Menjadi satu perkara yang amat mendukacitakan ibu bapa dan orang tua bilamana anak mereka yang bergelar graduan universiti gagal diterima bekerja dimana-mana sektor akibat kualiti graduan yang rendah. Budaya exam oriented yang membawa penguasaan terhadap teori semata-mata dan mengabaikan hands on knowledge atau praktikal dipercayai antara punca kualiti graduan universiti tempatan sering menjadi persoalan. Ini diperakui sendiri oleh seorang Prof. Dr. yang merupakan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang saya temui bila mana menjelaskan perbandingan tempoh pengajian yang terlalu lama dihabiskan untuk mempelajari teori mana-mana cabang ilmu dan kurangnya tempoh pengajian dari segi praktikal. Disamping itu, cadangan kerajaan untuk mengkaji semula pakej pengajian adalah disambut baik. Adalah benar bahawa Institut Pengajian Tinggi (IPT) memainkan peranan penting didalam aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) dimana-mana negara diseluruh dunia.
Tuan Yang di-Pertua,
Berkenaan Teras Strategik Kelima: Mewujudkan Persekitaran Kondusif ke Arah Mempertingkatkan Kualiti Hidup
Amat jelas bahawa Kerajaan berusaha keras bagi Meningkatkan Kecekapan Pengangkutan Awam Negara bilamana pada 3hb Jun yang lalu, seluruh rakyat Labuan dan rakyat Sabah di Labuan menyambut baik pengumuman Kerajaan Negeri Sabah yang disampaikan oleh YAB Ketua Menteri Sabah bahawa MONOPOLI perkhidmatan Feri Kenderaan-Penumpang yang menghubungkan Sabah dan Labuan telah ditamatkan dan hak monopoli tidak akan diteruskan. Ini memberi harapan baru kepada rakyat di wilayah ini akan penambahbaikan terhadap kecekapan pengangkutan awam diantara Sabah-Labuan yang selama ini amat mendukacitakan. Tahniah dan terima kasih turut saya ucapkan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia yang mana Menteri dan Timb. Menterinya telah turut TURUN PADANG menyelesaikan masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama iaitu kira-kira lebih 10 tahun. Penyelesaian terhadap masalah ini adalah satu bukti bahawa Kerajaan BN pimpinan YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak adalah ikhlas dan amat prihatin terhadap nasib dan kebajikan rakyat.
Tuan Yang di-Pertua,
Akhir kata, dengan ditunjangi semangat 1 Malaysia- Rakyat Di Dahulukan, Pencapaian Di Utamakan, Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Ekonomi Baru (NEM), dengan izin Allah SWT. saya optimis bahawa Rancangan Malaysia Ke-10 akan dapat dilaksanakan denga jayanya dan cita-cita merealisasikan Wawasan 2020 akan tercapai.
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadang.
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan