Selasa, 25 Ogos 2009

YUSSOF SALURKAN PERUNTUKAN RM15,000 UNTUK TIGA MESJID DAN 24 SURAU - BANTU RINGANKAN BEBANAN KEWANGAN JKK MESJID/SURAU SEDIAKAN MOREH JEMAAH TERAWIH


LABUAN: Ahli Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Mahal telah meluluskan peruntukan RM15,000 untuk diagihkan kepada 24 surau dan tiga mesjid di Labuan.
Peruntukan yang melihat kepada setiap surau menerima RM500 dan RM1,000 untuk setiap mesjid adalah untuk membolehkan jawatankuasa surau dan mesjid mengadakan moreh atau hidangan makan minum untuk jemaah terawih.
“Peruntukan ini adalah sebahagian daripada program kemasyarakatan tahunan setiap bulan ramadan untuk membantu meringankan beban kewangan jawatankuasa mesjid dan surau untuk menghidangkan juadah ringan iaitu moreh kepada jemaah terawih,” kata Yussof ketika menyampaikan sumbangan itu kepada pengerusi mesjid dan surau dikediamannya pada 24 Ogos lalu.
Di Labuan kita telah merancang pelbagai program sempena sambutan Ramadan termasuklah singgah sahur di rumah-rumah penduduk termiskin yang kita bakal kenal pasti dan juga “berterawih kitani” dengan kerjasama Pemuda Umno Labuan serta tadarrus Al-Quran bersama penduduk kampung.
“Program ini akan dijalankan di kesemua 27 buah kampung sepanjang bulan ramadan ini. Kita juga mengalukan warga belia ataupun generasi muda agar aktif melibatkan diri dalam aktiviti dan program mesjid dan surau. Bersamalah kita mengimarahkan suasana mesjid,” katanya.
Katanya dengan kedatangannya bulan ramadan yang mulia ini, katanya umat islam haruslah melipatgandakan ibadah agar dapat menjauhkan sikap negatif, hasad dengki, benci-membenci antara satu sama lain yang hanya membawa kesusahan pada diri masing-masing.
Sementara itu berhubung dengan Sambutan Kemerdekaan Ke-52 katanya, beliau menyeru agar warga Malaysia yang menetap di Labuan turut sama mengibarkan jalur gemilang bagi memeriahkan lagi suasana kemerdekaan.
“Kita telah pun mengadakan Larian Semarak Merdeka 1Malaysia yang julung kali kita adalak di Labuan bagi menyahut seruan Perdana Menteri kita, dan ianya mendapat sokongan padu dan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpim masyarakat dan ketua-ketua kampung,” katanya.
“Sambutan kemerdekaan tahun ini akan diadakan secara sederhana dan tidak akan ada perarakan. Apa yang penting adalah semangat kemerdekaan itu terus berada pada diri kita. Dalam persiapan ini pihak Perbadanan Labuan sedang dalam membuat persiapan berhubung perkara ini,” katanya.

Selasa, 18 Ogos 2009

LARIAN JULUNG KALI LARIAN 1MALAYSIA LABUAN MENDAPAT SAMBUTAN LUAR DUGAAN MESKIPUN PENULARAN WABAK A H1N1

LARIAN 1MALAYSIA DIANJURKAN OLEH PEJABAT AHLI PARLIMEN LABUAN DENGAN KERJASAMA JABATAN PENERANGAN LABUAN DAN JABATAN-JABATAN DIBAWAH KEMENTERIAN PENERANGAN KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN


LABUAN-- Lebih 2,000 orang dari pelbagai lapisan umur mengambil bahagian dalam Larian 1Malaysia yang pertama kali diadakan di sini walaupun di tengah-tengah ancaman penularan selesema babi atau Influenza A H1N1.

Peserta kelihatan memakai topeng sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan berbaju 1Malaysia dalam larian sejauh 3km yang dianjurkan Pejabat Anggota Parlimen Labuan dengan kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan agensi di bawahnya, yang bermula di Dataran Labuan.

"Kami bangga kerana menjadi penganjur pertama Larian 1Malaysia sebagai tanda sokongan terhadap idea Perdana Menteri mengenai konsep 1Malaysia bagi menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini," kata Anggota Parlimen Labuan Datuk Yussof Mahal.

Seorang pelajar Alfred Nikko Duaka, 10, memberitahu beliau bangga untuk mengambil dalam larian itu bagi memahami konsep 1Malaysia selain ingin menjadi peserta pertama dalam larian seumpama itu.Bagi Juliana Anistasia, 13, dan Elvinna Jane Sibil, 14, menyifatkan larian itu sebagai platform hebat untuk merapatkan hubungan rakyat berbilang kaum terutama di pulau itu.

"Sudah tentu, sebagai pelajar kami khuatir dengan ancaman H1N1 tetapi oleh kerana Labuan menjadi penganjur pertama larian itu kami tidak mahu ketinggalan," kata Juliana yang memakai topeng semasa berlari.

Rabu, 12 Ogos 2009

TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN KE LABUAN ATAS LAWATAN KERJA RASMI

LABUAN--Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengadakan lawatan kerja ke Wilayah Persekutuan Labuan bersama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong pada 30hb Julai 2009.
Beliau tiba jam 5.35 petang disambut dengan tarian kebudayaan dan diiringi Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Datuk Raja Zainal Abidin, Ahli Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Mahal, Ketua Setiausaha Kementerian wilayah Persekutuan Datuk Ahmad Phesal Talib serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Lawatan rasmi dua hari menyaksikan beliau bersama rakyat Labuan untuk berjemaah Solat Fardhu Jumaat dan sekali lagi bersama rakyat dalam Majlis Santapan Bersama Rakyat.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Negeri Terengganu Tengku Muhammad Ismail turut tiba seawal jam 4.45 petang.
Sementara itu, Permaisuri Agong sempat menghadiri Majlis Santapan Tengahari bersama isteri-isteri pemimpin masyarakat dan isteri-isteri pegawai pekhidmatan awam Wilayah Persekutuan Labuan pada pagi Jumaat di Hotel Grand Dorsett.



Jumaat, 17 Julai 2009

Perlantikan Wakil Ahli Parlimen bukan untuk ketepikan peranan ketua kampung - bantu lancarkan program pembangunan kerajaan melalui Parlimen Labuan

LABUAN: Ahli Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Mahal mengulangi dengan tegas perlantikan Wakil ahli Parlimen di kesemua 27 buah kampung di pulau itu adalah untuk memastikan program pembangunan masyarakat Parlimen Labuan berjalan lancar dan bukan untuk mengenepikan peranan ketua-ketua kampung.
Katanya Wakil Ahli Parlimen yang diberi pengiktirafan sendiri oleh Pejabat Ahli Parlimen Labuan tidak seharusnya dimusuhi oleh ketua-ketua kampung, kerana mereka ini hanyalah menjalankan tugas bagi pihak Pejabat Ahli Parlimen.
“Tidak ada niat atau motif disebalik perlantikan Wakil Ahli Parlimen ini. Biarlah saya berterus-terang. Perlantikan Wakil Ahli Parlimen ini adalah disebabkan ketiadaan kerjasama segelintir ketua-ketua kampung dalam mana-mana program anjuran Pejabat Ahli Parlimen. Setahun setengah saya menjadi Ahli Parlimen, hanya beberapa ketua kampung sahaja yang memperlihatkan kerjasama dengan hadir di pejabat saya,” katanya dalam majlis program Apa Khabar Orang Kampung Siri ke-9 di Kg Sg Bedaun baru-baru ini.
Ketua-ketua kampung seharusnya bekerjasama dan saling bantu membantu dalam memastikan program pembangunan masyarakat berjalan lancar dan memberi faedah kepada penduduk setempat, “dan bukan memboikot dan tidak hadir di program yang dianjurkan oleh kerajaan, janganlah pandang Yussof Mahal tetapi lihatlah program itu adalah ditujukan untuk rakyat.
“Ketua-ketua kampung adalah dilantik oleh kerajaan berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat. Program Parlimen adalah program kerajaan
untuk rakyat dan kenapa harus tidak ada kerjasama,” katanya.
Beliau menggesa pemimpin-pemimpin masyarakat mengikis sikap kebencian dan hasad-dengki terhadap pihak tertentu sehinggakan program kerajaan anjuran Parlimen Labuan juga tidak diberi kerjasama.
“Kita tidak mahu adanya perbezaan pendapat antara kita, kita bawa rakyat bersama, dan memberi kesan kepada rakyat. Sebagai individu yang dilantik oleh kerajaan, seharusnya kita memperlihatkan kerjasama dan sokongan dengan pihak kerajaan dalam mana-mana program yang dianjurkan. Ketua kampung adalah rakyat, dan rakyat adalah rakyat saya sebagai seorang Ahli Parlimen,” tambahnya.
Program Apa Khabar Orang Kampung yang diadakannya setiap minggu yang melibatkan semua kampung di Labuan adalah untuk beliau berjumpa rakyat dan untuk mendengar permasalahan rakyat dan “jangan cuba politikkan”.

Beliau menegaskan “jangalah cuba bertopeng dengan kuasa yang diberi oleh kerajaan tetapi hanya pandai bercakap tetapi tidak ada perlaksanaan…baik berhenti daripada jawatan kerajaan kalau tidak meahu menjalankan amanah kerajaan”.
"Sekiranya masih ada segelintir pemimpin masyarakat yang tidak suka saya sebagai Ahli Parlimen, ini tidak akan menjadi penghalang untuk Yussof Mahal berkhidmat untuk rakyat saya di Labuan. Pemimpin masyarakat khususnya harus menerima pemimpin silih berganti. Saya tidak pernah merebut jawatan parlimen ini, jawatan saya ini adalah amanah yang diberikan oleh Perdana Menteri,” katanya.Sementara itu, beliau meluluskan peruntukan RM20,000 untuk belia, mesjid dan juga balairaya Kg Sg Bedaun. Pada majlis itu beliau juga sempat merasmikan laman web Kg Sg Bedaun.